Monday, January 31, 2011

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina 2011


Antara satu lagi iklan Tahun Baru Cina kegemaran saya, diharapkan anda menghayati mesej dan pengajaran yang terdapat dalam iklan-iklan tersebut... Selamat Tahun Baru Cina 2011 (Tahun Arnab)...

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina 2011


Terdapat banyak nilai dan pengajaran yang kita boleh perolehi daripada sesuatu perayaan. Diharapkan kita yang hidup di dunia ini yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang bangsa,agama,warna kulit, kepercayaan dan sebagainya dapat hidup dengan harmoni dan aman. Perpaduan merupakan asas kekuatan sesuatu negara. Oleh itu, kita perlulah berfikiran terbuka selalu memandangkan setiap insan di dunia ini memang berasal daripada rumpun manusia yang sama. Sama-samalah anda menghayati iklan Tahun Baru Cina yang saya poskan untuk anda supaya kita tidak ketinggalan dalam arus pemodenan yang nilai-nilai moral dan agama semakin terhakis... Selamat Menyambut Tahun Baru Cina...

Monday, January 24, 2011

Latihan Rumusan (Tingkatan 4/5)

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan kemasukan buruh asing di Malaysia dan langkah-langkah untuk mengurangkan bilangan mereka. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 perkataan.

Fenomena kemasukan buruh asing ke Malaysia bukanlah suatu hal yang luar biasa. Hal ini demikian kerana Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan makmur sudah pasti akan menarik perhatian sejumlah besar guna tenaga dari negara-negara sekitar untuk mencari nafkah di negara ini di samping faktor-faktor kedaifan dan kekurangan peluang kerja di negara asal mereka. Kini jumlah buruh asing dianggarkan telah mencecah dua juta orang dan dijangka mencapai angka lima juta pada tahun 2020 kelak.
Buruh-buruh asing ini pada hakikatnya bukanlah robot, tetapi individu yang membawa bersama-sama pelbagai latar belakang kehidupan dari tanah asal masing-masing. Dari aspek kesihatan, buruh-buruh asing yang datang secara haram khususnya amat berpotensi menyebarkan pelbagai penyakit berjangkit dan wabak. Jika wabak tercetus, kerajaan perlu membelanjakan wang yang banyak bagi mencegahnya. Kesannya terhadap kehidupan dan kebajikan rakyat tempatan akan menjadi sangat tragis, di samping kerajaan juga perlu menggerakkan tenaga profesional dalam bidang perubatan untuk mengatasi masalah tersebut dalam tempoh yang tertentu. Lazimnya juga sebahagian besar buruh asing akan menghantar pendapatan mereka kepada kaum keluarga di negara masing-masing. Pengaliran wang keluar ke negara asing amat merugikan rakyat dan negara ini. Pada hal, jika wang tersebut dibelanjakan di Malaysia akan dapat menjana kerancakan ekonomi domestik.
Kemasukan buruh asing turut membawa bersama ahli keluarga ke Malaysia. Sesetengahnya pula menambah bilangan anak sewaktu berada di bumi Malaysia. Hal yang sedemikian menyebabkan kerajaan terpaksa menambah peruntukan untuk menyediakan kemudahan persekolahan. Anak mereka berkongsi bilik darjah dan kemudahan sekolah dengan anak tempatan. Guru-guru yang dahulu hanya memberikan tumpuan pengajaran dan pembelajaran kepada anak-anak tempatan, sekarang melebarkan tumpuan mencakupi anak-anak pendatang.
Bukan sedikit pula jenayah yang terjadi berpunca daripada buruh asing. Pernyataan ini tidak pula menafikan bahawa orang tempatan juga ada yang melakukan jenayah. Namun, dengan wujudnya jenayah yang dilakukan oleh sebahagian buruh asing dengan kaedah atau modus operandi yang agak berbeza dengan penjenayah tempatan, pasukan polis negara ini terpaksa bekerja lebih keras. Operasi dari masa ke masa menuntut peruntukan kewangan yang besar daripada kerajaan serta mengambil masa serta tenaga pasukan keselamatan yang amat berharga. Kesan jenayah pula turut meninggalkan trauma yang mendalam kepada mangsa yang terdiri daripada rakyat tempatan.
Sudah tiba masanya kerajaan Malaysia mencari alternatif yang praktikal bagi mengurangkan jumlah buruh asing ke tahap yang minimum. Kebergantungan kepada buruh asing bukan sesuatu yang harus dibiarkan berlanjutan sehingga boleh mencetuskan suasana yang mengganggu ketenteraman dan keselamatan rakyat dan negara ini.

(Diubah suai daripada rencana Pendatang,
oleh Anwar Ridhwan, Dewan Masyarakat,
Oktober 2004)

Perhatian!!! Jawaban lengkap disediakan. Sila hantarkan alamat email anda!!!

Wednesday, January 12, 2011

Antologi Dirgahayu Bahasaku(Tingkatan 5)


PANTUN ENAM KERAT

Putik kelapa menjadi muda,

Kelapa muda jadi kemirau,

Sudah kemirau menjadi kotai;

Hati luka pura tiada,

Rasa pedih buat tak hirau,

Ibarat kaca jatuh ke lantai.

Ambil galah jolok kedondong,

Galah pendek buluh sumpitan,

Buluh bersisip tali jerami;

Bukan salah ibu mengandung,

Sudah takdir sudah suratan,

Sudah nasib jadi begini.

Sarat bermuat ikan cencaru,

Gelama tidak berumpan lagi,

Kail tersangkut di tepi batang;

Sudah dapat orang yang baru,

Yang lama tidak berkenan lagi,

Ibarat melukut di tepi gantang.

Tema : Ketabahan hati semasa berhadapan dengan kekecewaan dalam percintaan

Persoalan:

i. Perasaan kecewa yang perlu dihadapi dengan tabah tanpa menyerah kalah pada takdir.

ii. Perasaan rendah diri apabila dikecewakan oleh orang yang dikasihi

iii. Menerima takdir hidup dengan pasrah.

Nilai:

i. Ketabahan; tabah menghadapi kekecewaan dalam percintaan

ii. Keredaan; reda akan takdir tuhan

iii. Rasional : tidak menyalahkan sesiapa atas kejadian yang menimpa diri

Pengajaran:

i. Kita perlu tabah dan kuat semangat apabila berhadapan dengan kekecewaan

ii. Kita mesti menerima ketentuan tuhan dengan reda dan pasrah

iii. Kita mesti bersikap rasional apabila berhadapan dengan masalah dalam kehidupan tanpa menyalahkan orang lain.

Peribahasa

i. Ibarat kaca jatuh ke lantai

ii. Bukan salah ibu mengandung

iii. Ibarat melukut di tepi gantang

Maksud Pantun

i. Rangkap 1: kekecewaan yang benar-benar dirasai oleh seseorang perlu ditangani tetapi jangan dilayan perasaan kecewa walaupun hati betul-betul terluka/kecewa.

ii. Rangkap 2; Semua peristiwa yang berlaku/kecewa cinta merupakan ketentuan Tuhan dan tidak perlu menyalahkan orang lain

iii. Rangkap 3; Perasaan hina menyebungi diri orang yang kecewa cinta apabila kekasih hati jatuh hati dengan orang lain/orang baru

PANTUN LAPAN KERAT

Buat bangsal di tengah hutan,

Tebaslah hutan buat halaman,

Di tepi halaman menanam kubis,

Diselang dengan pokok papaya;

Biarlah sabar dengan perlahan,

Itulah tanda tuan beriman,

Tidak patah digoncang syaitan,

Akhirnya tuan menang berjaya.

Ikan teluk parang-parang,

Anak ketam disangka lelabi,

Berburu musim tengkujuh,

Dapat buruan dibelah-belah;

Bukan makhluk sebarang-barang,

Cucu Adam sepaian nabi,

Turun dari langit ketujuh,

Jadi khalifah kepada Allah.

Lengkang-lengkung apa dipaku,

Paku jatuh patah dua,

Menjadi riuh orang di darat,

Anak Cik Itam jatuh jalar;

Bumi kandungan nenek moyangku,

Kerana lalai rosak binasa,

Kebudayaan Timur dinodai Barat,

Bahasa ibunda hina terbiar.

Tema: Tanggungjawab terhadap agama, negara, bahasa dan bangsa

Persoalan:

i. Sifat sabar yang perlu dimiliki untuk berhadapan dengan godaan syaitan.

ii. Kesabaran menunjukkan tahap kekuatan iman yang tinggi ;

iii. Kesabaran mampu memberi kejayaan kepada manusia.

iv. Kemuliaan manusia sebagai pemimpin dunia

v. Kelalaian dan terlalu mengagungkan budaya Barat yang akhirnya merosakkan budaya dan bahasa ibunda di negara sendiri.

vi. Tanggungjawab yang mesti dipikul oleh rakyat negara ini demi kedaulatan budaya dan bahasa ibunda.

Nilai:

i. Kesabaran

ii. Tanggungjawab

iii. Semangat patriotik/jati diri

Pengajaran

i. Kita perlu mempunyai sifat sabar untuk berjaya melawan hasutan syaitan

ii. Kita perlu menjaga amanah yang diberi tuhan sebagai pemimpin di dunia ini.

iii. Kita perlu mempertahankan budaya Timur daripada pupus ditelan budaya Barat

iv. Jangan lalai dengan arus kemodenan yang akhirnya akan merosakkan identity bangsa dan negara sendiri.

Maksud Pantun

1. Sifat sabar dapat melindungi diri kita godaan syaitan/ memperoleh kejayaan hidup

2. Manusia yang menjadi khalifah di dunia ialah mahkluk pilihan tuhan

3. Budaya Timur yang rosak di negara sendiri kerana pengaruh Barat ; akibat kelalaian rakyat sendiri yang mengagung-agungkan budaya Barat.

4. Bahasa ibunda yang terpinggir di negara sendiri akibat sikap mengagung-agungkan budaya orang lain/budaya Barat

Monday, January 10, 2011

Novel PMR (Soalan dan Jawaban)

Soalan 1

Berdasarkan satu daripada novel di atas, nyatakan tiga latar masa. Bagi setiap latar masa tersebut, berikan contoh peristiwa yang berlaku.

Zon 1: Pahlawan Pasir Salak

1. Waktu senja - Deli selesai menolong ayahnya di gerai. Sewaktu mahu pulang ke rumah, dia terlihat sebuah perahu meluncur di pangkalan. Lamin dan Pak Wan meminta Deli menolong mereka kerana mereka telah diserang oleh orang suruhan Inggeris.

2. Waktu malam - Penduduk Kampung Pasir Salak berkumpul di halaman rumah Datuk Maharaja Lela untuk mendengar ucapan beliau. Datuk Maharaja Lela memberitahu penduduk-penduduk kampung supaya bersedia untuk menentang kehadiran Inggeris yangmahu menjajah kampung mereka.

3. November 1875 - Berlakunya suatu peristiwa berdarah di Pasir Salak apabila Seputum berjaya membunuh Residen British Perak yang pertama, iaitu Residen British. Peristiwa berdarah ini mengakibatkan Inggerls menyerang Kampung Pasir Salak.

Soalan 2

Kita hendaklah berani melakukan sesuatu perkara demi melaksanakan sesuatu tugas. Berdasarkan pernyataan di atas, huraikan dua contoh sifat berani yang ditunjukkan oleh watak-watak dalam novel yang anda kaji

Zon 1: Pahlawan Pasir Salak

1. Datuk Maharaja Lela dengan beraninya telah membakar pondok yang dibuat oleh Inggeris untuk memungut cukai daripada penduduk Pasir Salak. Walaupun tindakan Datuk Maharaja Lela itu telah menyebabkan Inggeris semakin marah, Datuk Maharaja Lela dan anak-anak buahnya telah bersedia untuk menentang Inggeris.

2. Datuk Maharaja Lela telah mengarahkan penduduk-penduduk Pasir Salak supaya mengoyakkan surat kenyataan memungut cukai yang ditampal oleh orang suruhan Inggeris di kampung mereka. Keberanian Datuk Maharaja Lela ini mendapat sokongan daripada penduduk-penduduk Pasir Salak yang sayang akan kampung halaman mereka.

Soalan 3

Berdasarkan novel yang anda kaji, Huraikan peleraian cerita dalam novel tersebut. Jawapan anda hendaklah berdasarkan sebuah novel yang anda kaji dalam Tingkatan 3.

Zon 1: Panas Salju

1. Lima tahun selepas Bushrah menjalani pembedahan untuk pemindahan hatinya kepada anaknya, Nadhirah, akhirnya Bushrah meninggal dunia di pangkuan suaminya, Zulkifli pada jam 4 pagi. Ramai sahabat dan jirarn tetangga menziarahi keluarga Zulkifli. Zulkifli dan anak-anaknya benar-benar terasa kehilangan Bushrah yang telah banyak berkorban untuk keluarga.

2. Zulkifli mendapat tawaran kerja sebagai pengarang sastera di Mingguan Malaysia sementara Nadhirah telah bekerja di Bank Islam dan Mulyadi pula menjadi pensyarah kanan di ITM. Mereka hidup bahagia sekalipun Bushrah lelah tiada dan Zulkifli tidak berkahwin lagi demi cintanya kepada isterinya itu.

Rahsia Orang Malas Jana Duit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...