Friday, November 26, 2010

Orang Kurang Upaya (OKU)

PERANAN PELBAGAI PIHAK UNTUK MEMBANTU ORANG KURANG

CONTOH KARANGAN:

Orang Kurang upaya merupakan orang yang kurang bernasib baik. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna seperti kita. Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Terdapat pelbagai pihak yang perlu memainkan peranan untuk membantu Orang Kurang Upaya (OKU).

Antara peranan untuk membantu OKU ialah ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak mereka supaya tidak menghina OKU. Hal ini demikian kerana OKU juga mempunyai perasaan seperti kita. Sebagai contoh, anak-anak diajar supaya tidak mentertawakan golongan tersebut. Tegasnya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya menghormati OKU.

Selain itu, pihak kerajaan boleh menyediakan pelbagai peluang pendidikan dan memberikan kemahiran kepada golongan ini. Hal ini demikian kerana .pendidikan dan kemahiran sangat penting demi masa depan mereka. Langkah pihak kerajaan mewujudkan Kelas Pendidikan Khas patut dipuji..Jelaslah bahawa, pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam membantu OKU.

Di samping itu, pihak swasta juga hendaklah turut sama membantu golongan ini menjalani kehidupan yang lebih baik. Mereka tidak seharusnya bersikap lepas tangan. Sebagai contoh, pengusaha pusat beli-belah perlu menyediakan kemudahan untuk golongan ini seperti lorong khas, tandas dan tempat letak kenderaan. Oleh itu, pihak swasta perlu menunjukkan tanggungjawab mereka terhadap golongan yang kurang bernasib baik ini.

Seterusnya, pihak media massa boleh memainkan peranan mereka dengan menyebarkan maklumat tentang OKU. Setiap maklumat mestilah disampaikan dan disebarkan kepada orang ramai. Kempen Masyarakat Penyayang yang dilancarkan oleh pihak kerajaan perlulah disampaikan melalui saluran media massa. Kesannya, orang ramai akan mendapat maklumat tentang OKU. Jelaslah, nasib OKU akan terbela dengan adanya peranan media massa.

Akhir sekali, setiap individu perlu menunjukkan nilai-nilai murni. Hal ini demikan kerana setiap individu mempunyai tangungjawab masing-masing. Sebagai contoh, mereka perlu membantu golongan ini semasa melintas jalan, menaiki bas atau ketika OKU memerlukan bantuan. Pendek kata, setiap individu hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni bagi membantu golongan ini.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelbagai pihak perlu memainkan peranan untuk membantu OKU. Setiap pihak perlu berganding bahu, bak kata peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Penyelesaian Konflik Antara Negara Bukannya Melalui Peperangan

BERUNDING LEBIH BAIK DARIPADA BERPERANG

Soalan: Konflik antara sesebuah negara dengan negara lain di dunia pada masa ini harus diselesaikan melalui perundingan dan bukan melalui peperangan. Bahaskan pernyataan di atas.

Sejak dahulu lagi, kerakusan pemimpin dalam membuat keputusan untuk berperang sering membawa melapetaka kepada rakyatnya. Sejarah telah membuktikan bahawa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua telah membawa pelbagai implikasi kepada dunia sejagat. Tokoh-tokoh pemimpin seperti Hitler dan George W.Bush pasti akan dikenang oleh rakyat negara yang terbabit sebagai pemimpin yang mementingkan diri sendiri bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing yang telah memusnahkan dan menghancurkan keharmonian negara mereka. Oleh itu, pemimpin sekarang harus mengambil iktibar bahawa peperangan tidak dapat menyelesaikan sesuatu konflik dalam masa yang singkat dan mereka perlu mengambil pendekatan dengan berunding demi kesejahteraan rakyatnya. Jangan nanti gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah. Terdapat pelbagai manfaat apabila pemimpin mengambil pendekatan berunding daripada menggunakan senjata untuk menyelesaikan masalah.

Antara kebaikan mengambil pendekatan berunding dalam menyelesaikan konflik antara sesebuah negara ialah pertumpahan darah tidak akan berlaku dan banyak nyawa yang tidak berdosa dapat diselamatkan. Hal ini dikatakan demikian kerana perundingan akan melibatkan pemimpin yang duduk semeja berusaha untuk mencari jalan keluar bagi konflik yang dihadapi. Perbincangan yang melibatkan golongan pemimpin ini pasti akan mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit. Saidina Ali Abi Talib pernah berpesan bahawa pasak kekuatan sesebuah negara hendaklah didirikan atas keadilan para pemerintah. Oleh itu, rakyat tidak akan mengalami kesengsaraan hidup akibat ledakan bom dan tembakan peluru berpandu. Anak-anak tidak akan hilang tempat bergantung dan masa depan mereka akan lebih terjamin. Cukuplah kita melihat penderitaan dan kesengsaraan hidup yang dialami oleh anak-anak dari bumi Palestin, Iraq dan Afgahnistan serta beberapa buah negara di Afrika sebagai akibat kehilangan insan yang disayangi. Jelaslah bahawa perundingan akan mengelakkan berlakunya pertumpahan darah.

Jika ditinjau dari perspektif yang lain, sesebuah negara itu tidak akan mengalami kerugian harta benda jika menggunakan rundingan sebagai jalan untuk menyelesaikan. Kita sedia maklum bahawa peperangan pasti akan meranapkan bangunan, kenderaan, kawasan tumpuan ekonomi dan sebagainya. Peperangan laazimnya menggunakan senjata-senjata cacnggih seperti bom nuklear dan peluru berpandu yang mampu memusnahkan apa-apa sahaja dalam sekelip mata. Sebagai contohnya, peperangan yang berlaku di antara Israel dan Palestin telah membawa kemusnahan infrastruktur negara yang teruk sekali gus menelan belanja yang banyak untuk membaik pulih keadaan. Hal ini bertepatan dengan kata pepatah yang berbunyi, menang menjadi arang, kalah menjadi abu. Sekiranya cara perundingan dipilih sudah pasti kemusnahan harta benda tidak akan berlaku. Rakyat dapat menyimpan wang mereka demi masa depan mereka manakala wang kerajaan juga dapat dijana untuk pembangunan ekonomi negara kerana kebanyakan infrastruktur negara masih berkeadaan baik lagi. Kerajaan tidak perlu lagi membeli senjata, kapal pejuang dan kapal perisai yang baharu. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa perundingan pasti dapat mengelakkan kemusnahan harta benda yang tidak diduga sama ada harta benda persendirian atau milik kerajaan.

Di samping itu, hubungan diplomatik antara dua buah negara juga dapat dijalin dengan lebih erat apabila pemimpin menggunakan rundingan sebagai cara untuk menyelesaikan konflik yang dihadapinya. Sesungguhnya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Begitu juga dengan konflik yang dihadapi oleh sesebuah negara. Jika jalan perundingan yang dipilih daripada pertumpahan darah maka ikatan silaturahim antara dua buah negara akan terjalin. Perasaan berbaik-baik dan berprasangka positif akan wujud dalam sanubari mereka lantas kedamaian yang dipilih oleh mereka. Mereka akan berpegang pada konsep buang yang keruh, ambil yang jernih. Perundingan antara mereka bukan sahaja membincangkan jalan keluar bagi konflik yang dihadapi malahan juga mereka akan berkonsi pandangan untuk memajukan negara masing-masing. Oleh hal yang demikian, pendekatan rundingan dapat menjalinkan hubungan dua hala antara negara yang terbabit.

Kebaikan yang seterusnya ialah negara-negara yang terlibat dalam rundingan bagi menyelesaikan konflik akan dipandang tinggi dan mulia oleh negara-negara lain di persada antarabangsa. Pada masa ini, majoriti masyarakat di seluruh dunia mendambakan kehidupan yang aman damai dan harmoni, yakni bebas daripada berlakunya pertumpahan darah. Namun begitu, terdapat segelintir pemimpin yang angkuh dan berhidung tinggi daripada bersikap mementingkan keamanan dan kepentingan rakyat. Kita lihat sahaja pemimpin Korea Utara yang sering membuat provokasi dengan melancarkan ujian nuklear walaupun tindakan mereka dikecam hebat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat dunia yang lain. Begitu juga dengan pihak Amerika Syarikat yang dianggap sebagai polis dunia telah dikritik sebagai akibat daripada kedegilan mereka menyelesaikan masalah dengan cara melakukan keganasan yang kononnya ingin menghapuskan pengganas. Secara tidak langsung, perbuatan mereka telah menjejaskan imej negara terbabit. Tuntasnya, cara perundingan dan persepakatan amat bersesuaian untuk menyelesaikan masalah daripada cara peperangan.

Seperkara lagi, apabila pemimpin-pemimpin memilih pendekatan berunding semasa menyelesaikan konflik dengan negara lain, ekonomi negara tersebut tidak akan terjejas. Kita haruslah menerima hakikat bahawa peperangan hanya akan membawa kemusnahan apabila semua infrastruktur seperti bangunan-bangunan kerajaan dimusnahkan dalam sekelip mata. Oleh itu, kerajaan terpaksa memperuntukan jumlah wang yang besar untuk memulihkan keadaan yang terjejas dengan teruk. Dalam hal ini, agenda pembangunan negara tersebut tidak dapat dijayakan seperti yang dirancangkan. Impaknya, ekonomi negara tersebut akan terbantut. Sebagai analoginya, apabila Pusat Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat diserang pada tahun 2001, ekonomi di Amerika Syarikat merosot dan banyak rakyat mengalami pengangguran dalam beberapa tahun. Hal sedemikian tidak akan berlaku jika mereka menggunakan pendekatan berunding malah lebih teruk apabila kadar jenayah turut meningkat lantaran kemelesetan ekonomi. Jadi, jelaslah bahawa cara berunding lebih baik daripada berperang ketika menyelesaikan sesuatu konflik yang dihadapi.

Intihanya, sudah terang lagi bersuluh bahawa sesebuah negara perlulah menyelesaikan konflik yang dihadapi dengan cara yang paling afdal iaitu berunding. Pihak kerajaan terutamanya para pemimpin haruslah bijak membuat keputusan yang melibatkan nyawa rakyat dan masa depan negara masing-masing seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Jadikanlah kekejaman yang dilakukan oleh beberapa orang pemimpin dunia lalu sebagai iktibar kepada pemimpin-pemimpin pada masa akan datang. Ingatlah, sejarah akan menjadi guru yang selama-lamanya tidak pernah berbohong. Segala kejahatan terhadap warga dunia yang pernah dilakukan akan terus dikecam, bak kata peribahasa, jejak dapat dihilangkan, belang tetap berparut. Semoga kebijaksanaan para pemimpin dunia untuk menyelesaikan masalah dengan perundingan akan memberikan sinar kehidupan yang lebih cerah kepada seluruh rakyatnya

Kepentingan Memperkasakan Bahasa Inggeris

KEPENTINGAN MENGUASAI BAHASA INGGERIS

Sebelum ini, mutu pencapaian bahasa Inggeris di negara kita menampakkan kemerosotan yang ketara. Sejak pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsan yang menghapuskan aliran bahasa Inggeris, penguasaan para pelajar dalam bahasa Inggeris amat rendah. Hal ini dapat dibuktikan melalui keputusan-keputusan peperiksaan pada tahun-tahun yang lepas. Oleh hal yang demikian, mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk mewajibkan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dalam bidang Sains dan Matematik Tahun Satu dan Tingkatan Satu mulai tahun 2003. Dalam pada itu, ada pihak yang mengangguk kepala bahawa bahasa Inggeris banyak mempunyai kelebihan tetapi ada pihak yang menggeleng kepala bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa penjajah. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris haruslah dijadikan sebagai bahasa kedua penting tidak kira sama ada di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah demi kebaikan semua. Jadi, bahasa Inggeris memainkan peranan yang penting dalam kehidupan rakyat jelata.

Antara kepentingan bahasa Inggeris termasuklah bahasa Inggeris merupakan bahasa utama dalam komunikasi antarabangsa. Hal ini dapat dibuktikan apabila jumlah penutur bahasa Inggeris di seantero dunia mengatasi jumlah penutur bahasa utama lain seperti bahasa Perancis, Sepanyol, Arab, dan Rusia. Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa utama yang digunakan semasa seseorang berkomunikasi dengan bangsa negara lain ialah bahasa Inggeris. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja memudahkan kita berhubung dengan dunia luar malah bahasa ini menjamin kelancaran urusan yang melibatkan bangsa negara lain. Misalnya, urusan seseorang dengan bangsa lain akan berjalan dengan lancar sekiranya seseorang itu menguasai bahasa Inggeris dengan sepenuhnya. Sebaliknya, urusan seseorang akan menempuh pelbagai dugaan sekiranya seseorang itu tidak petah dalam bahasa Inggeris. Hal ini jelas menampilkan kepentingan bahasa Inggeris.

Selain itu, bahasa Inggeris juga merupakan bahasa utama dalam bidang perniagaan. Walaupun bahasa rasmi negara ialah bahasa Malaysia namun dalam bidang perniagaan bahasa yang kerap digunakan ialah bahasa Inggeris. Contohnya, bahasa Inggeris digunakan semasa sesuatu perniagaan sedang dijalankan. Menurut kajian, bahasa Malaysia jarang-jarang digunakan semasa urusan perniagaan dijalankan. Hal ini berlaku demikian kerana bahasa Malaysia kekurangan istilah yang tepat untuk mengungkapkan maksud dalam perniagaan. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja penting untuk menjamin peluang kejayaan kerjaya malah juga penting untuk menjamin hubungan yang mantap dalam bidang perniagaan. Jikalau bahasa Inggeris tidak dikuasai, maka perniagaan individu, syarikat, dan negara akan terbatas. Apabila peluang perniagaan terbatas, hal ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara malah juga menjejaskan hubungan diplomatik dan nama baik negara. Oleh itu, bahasa Inggeris amat penting dalam bidang perniagaan.

Di samping itu, kepentingan bahasa Inggeris yang lain ialah bahasa Inggeris merupakan bahasa ilmu pengetahuan. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam era globalisasi dan modenisasi ini, bahasa Inggeris merupakan bahasa sumber yang penting. Misalnya, kebanyakan buku ensiklopedia, buku rujukan, maklumat, penyelidikan dan khazanah ilmu yang lain terungkap dalam bahasa Inggeris. Hal ini tidak menjadi masalah bagi golongan yang dapat menguasai bahasa Inggeris untuk memahami isi-isi yang tercatat dalam bahan bacaan tersebut. Persoalannya, adakah anda faham akan isi-isi yang ingin disampaikan sedangkan tahap penguasaan bahasa Ingeris berada pada paras yang menyedihkan? Jawapannya semestinya tidak. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu yang terdapat dalam bahan bacaan itu memerlukan tahap penguasaan bahasa Inggeris yang optimum. Dengan ini, tampaklah bahawa penguasaan bahasa Inggeris amat penting dalam menimba ilmu yang tidak terhingga.

Bukan itu sahaja, bahasa Inggeris penting kerana bahasa ini merupakan bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat dapat memperoleh maklumat-maklumat yang terkini supaya masyarakat tidak menjadi katak di bawah tempurung dengan syarat masyarakat dapat menguasai bahasa Inggeris. Malahan, mereka juga dapat memahami isi-isi tersurat yang dipaparkan dalam maklumat antarabangsa yang disalurkan melalui satelit ataupun media massa seperti radio, televisyen, dan surat khabar. Lebih-lebih lagi pada zaman teknologi maklumat ini, banyak alat teknologi yang canggih telah dicipta untuk memudahkan perhubungan masyarakat dengan dunia luar seperti internet tambahan pula, bahasa Inggerislah yang terungkap dalam laman web. Jadi, bahasa Inggeris haruslah dipandang berat kerana bahasa ini ialah bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet.

Kesimpulannya, bahasa Inggeris ialah bahasa antarabnagsa yang sangat mustahak untuk berhubung dengan bangsa lain, baik dengan masyarakat tempatan mahupun dengan masyarakat dunia luar. Walaupun bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara namun bahasa Inggeris amat penting untuk kemajuan negara. Penggunaan bahasa Inggeris membolehkan masyarakat dan negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah menerima maklumat antarabangsa. Hal ini secara tidak langsungnya mempercepat pembangunan negara. Di samping itu, kemajuan hanya dicapai dengan lebih cepat sekiranya komunikasi dalam bahasa Inggeris berjalan dengan lancar dengan negara-negara maju. Dengan ini, kecemerlangan seseorang individu bergantung pada tahap penguasaan bahasa Inggeris. Oleh itu, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang amat penting dalam menimba ilmu pengetahuan, komunikasi antarabangsa, bidang teknologi, dan bidang perniagaan

Memartabatkan Bahasa Melayu

USAHA-USAHA MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA

Malaysia dan Nusantara mempunyai bahasa pertuturan tersendiri, iaitu bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia telah menjadi bahasa perhubungan atau lingua franca lebih 600 tahun lalu, lebih lama daripada bahasa Inggeris yang hanya bermula pertengahan kurun ke-16. Sejak tahun 1955, bahasa Malaysia telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan negara dan telah menjadi bahasa rasmi sejak merdeka. Pada tahun 1967, sepuluh tahun selepas merdeka, bahasa Malaysia menjadi bahasa kebangsaan bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, iaitu Perkara 152. Krisis baharu yang melanda bahasa Malaysia ialah rakyat negara ini semakin meminggirkan bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Krisis ini berpunca daripada tanggapan yang salah oleh masyarakat tentang kemampuan bahasa Malaysia sebagai bahasa kemajuan negara ini. Faktor kedua berpunca daripada sikap orang Melayu sendiri. Hal ini berlaku demikian kerana orang Melayu yang berkuasa telah meminggirkan bahasa Malaysia daripada rancangan pembangunan. Mereka tidak mahu menyokong rancangan pembinaan kepustakaan bahasa Malaysia. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, janganlah terkejut jika negara kita terus tertinggal dalam arus kemajuan, muflis dalam bidang ilmu, teknologi, dan budaya serta akhirnya terkubur di negara sendiri. Rata-rata, ibu bapa mendidik anaknya bertutur dalam bahasa Inggeris, kononnya jika tidak menguasai bahasa asing itu, mereka sukar mendapat pekerjaan.

Dalam dunia korporat, orang-orang Melayu sendiri malu untuk bertutur dalam bahasa Malaysia dengan bangsanya sendiri, kononnya takut dikatakan kolot, ketinggalan zaman, tidak bertamadun atau tertinggal dalam arus teknologi moden. Bangsa kita tidak terdesak untuk mencipta ilmu dan teknologi baharu kerana ilmu itu dapat diperoleh dan dibeli dari dunia lain sama ada dari barat atau timur sehingga bahasa Malaysia menjadi peniru atau pengguna. Kita janganlah menuding jari kepada sesiapa jika bahasa Malaysia dipinggirkan kerana kita sendiri yang enggan atau malu untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa sains dan teknologi, bahasa pencipta ilmu dan budaya atau bahasa bertamadun tinggi. Masyarakat kita sendiri lebih mementingkan bahasa Inggeris sebagai alat kemajuan, malah dalam perbualan seharian sesama sendiri, kita lebih berminat menggunakan bahasa Inggeris walaupun penguasaan bahasa Inggeris kita tidaklah sebaik mana.

Selain itu, dasar penswastaan yang tidak terhad semakin menyingkirkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi. Pelajar-pelajar di sekolah menerima pendidikan bahasa Malaysia selama tiga belas tahun. Selepas itu, mereka meninggalkan bahasa itu selepas tamat persekolahan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke kolej swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajiannya.

Dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan badan utama yang memainkan peranan yang amat penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia. Melalui peranan dan usaha yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, bahasa Malaysia telah digunakan dalam pelbagai bidang, termasuklah undang-undang, kejuruteraan, sains dan teknologi, ekonomi, perbankan, insurans dan sebagainya. Usaha ini terbukti dengan terbitnya buku-buku pengistilahan dan glosari dalam bahasa Malaysia yang mencakupi pelbagai bidang tersebut. Sebelum ini, kebanyakan istilah yang digunakan diambil daripada bahasa Inggeris. Usaha ini merupakan satu kejayaan yang membanggakan. Hal ini sekali gus dapat membantu program pendidikan di pusat pengajian tinggi.

Di samping itu, seluruh pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka mesti menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul dalam semua ucapan rasmi seperti ucapan dalam majlis perasmian, mesyuarat atau perhimpunan. Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah juga menjadi monitor dan menggerakkan semua aktiviti pembinaan dan pemantapan bahasa kebangsaan di seluruh negara, contohnya dalam projek Sukan Komanwel dan Koridor Raya Multimedia. Dalam konteks ini, Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah sentiasa menasihat, menegur, dan membimbing pemimpin kerajaan, swasta, media cetak, atau media elektronik supaya menggunakan bahasa Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi.

Selain itu, peranan media massa juga tidak harus diperkecil. Media massa mempunyai tanggungjawab sosial untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia. Pujian dan sanjungan haruslah diberikan kepada stesen penyiaran TV3 kerana masih terus menggunakan bahasa Malaysia dalam kebanyakan siaran. TV3 merupakan stesen penyiaran yang mula-mula menggunakan bahasa baku walaupun kini tidak lagi dan begitu juga harapan kita kepada RTM. Walaupun pihak RTM telah memulakan penyebutan baku bagi istilah asing, namun usaha itu masih belum boleh dibanggakan. Oleh itu, diharapkan kebanjiran stesen-stesen baharu ini dapat bersama-sama memartabatkan bahasa Malaysia di negara kita.

Di samping itu, mahasiswa institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan yang proaktif untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini demikian kerana mahasiswa perlu bergerak bersama-sama bagi mengukuhkan bahasa Malaysia dalam semua bidang ilmu. Menurut Datuk Mahadzir Mohd Khir, Timbalan Menteri Pelajaran, beliau mengatakan bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh mahasiswa dengan menganjurkan Minggu Bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi dalam kegiatan kebahasaan akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang ramai terhadap bahasa Malaysia. Pembabitan mahasiswa yang peka terhadap keperluan dan perubahan semasa selaras dengan peranan mahasiswa sebagai penggerak pembangunan masyarakat patut diberikan pujian. Minggu Bahasa Malaysia yang dianjurkan oleh mahasiswa dapat mendaulatkan bahasa ibunda di samping memupuk kecintaan terhadap bahasa Malaysia dalam kalangan generasi masa ini.

Warga pendidik di negara ini juga turut memainkan peranan yang penting untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta meningkatkan mutu pendidikan bahasa Malaysia. Golongan pendidik hari ini telah dipertanggungjawabkan melaksanakan konsep bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat. Peranan pendidik bahasa adalah penting kerana mereka juga bertanggungjawab membimbing guru mata pelajaran lain. Peranan para pendidik lebih penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia kerana dalam kurikulum pendidikan bahasa, matlamat utama adalah untuk melahirkan pelajar yang berupaya menggunakan bahasa Malaysia yang baik dan membanggakan. Selain itu, dalam konteks sikap yang lebih luas, nilai-nilai masyarakat yang positif perlu di¬terapkan melalui pendidikan bahasa.


Sehubungan dengan itu, peranan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa Malaysia amatlah dialu-alukan. Sektor swasta haruslah peka dan menganjurkan lebih banyak kegiatan bahasa di luar negara seiring dengan promosi perniagaan atau produk masing-masing. Kegiatan promosi dan pasaran secara terancang akan memberikan pulangan yang merangsangkan perkembangan bahasa Malaysia sebagai bahasa ekonomi, sains, dan teknologi. Papan-papan tanda dan iklan yang mempromosikan sesuatu produk haruslah menggunakan kata-kata bahasa Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi. Dengan cara ini, kita akan dapat mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Malaysia bukan sahaja di negara kita malah di pentas dunia.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, orang Malaysia sendiri mesti membetulkan kelakuan, sikap, tanggapan, dan semangat mereka terhadap bahasa Malaysia. Jika tidak siapakah lagi yang akan bertanggungjawab memperjuangkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebangsaan? Beliau juga mengesyorkan satu pertemuan raksasa antara orang-orang Malaysia yang terdiri daripada pemimpin politik, cendekiawan, ahli perniagaan, dan sebagainya perlu diadakan untuk membincangkan segala masalah yang mengancam bahasa Malaysia hari ini. Sebenarnya, isu bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan samalah seperti nasib sosial dan budaya kebanyakan orang Malaysia. Oleh hal yang demikian, orang-orang Malaysia haruslah bangun menjadi penegak bahasa Malaysia; bahasa yang menjadi tonggak bangsa.

Kesimpulannya, daripada perbincangan di atas, langkah-langkah yang konkrit dan pragmatik perlulah diambil untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan kita. Hakikat ini perlu disedari dan diakui oleh seluruh rakyat Malaysia. Kepentingan bahasa ini tidak dapat dipertikaikan lagi, sebaliknya setiap individu haruslah memanfaatkan masa mereka untuk mempelajari dan menguasai bahasa Malaysia dengan baik. Cara itulah yang terbaik untuk memartabatkan bahasa Malaysia yang ternyata memberikan faedah yang besar kepada perpaduan rakyat dan teknologi Malaysia. Jika tidak, generasi yang akan datang akan ketinggalan dan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat yang menggunakan bahasa asing. Sesungguhnya, bahasa jiwa bangsa.

Rahsia Orang Malas Jana Duit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...