Thursday, February 24, 2011

Sajak: Kecek - (V)-Antologi Tingkatan 5

Pengenalan

Sajak empat rangkap bernombor siri karya Awang Abdullah yang bertajuk "Kecek - (V) dipilih untuk pembelajaran komsas tingkatan 5 menerusi antologi "Dirgahayu Bahasaku", muka surat 22 - 23. Sumber ambilan asalnya ialah Dewan Sastera, 1989. Maknanya, sajak "Kecek - (V)" telah berusia lebih dua dekad, tetapi kekal relevan sepanjang zaman.

Bahagian pengenalan antologi (muka surat 18) memberikan gambaran yang agak terperinci tentang maksud sajak yang disampaikan. Antara lain dicatatkan:

1 Penyajak secara sinis menegur sikap orang kaya yang tidak jujur dalam mengumpul harta untuk diri dan keluarga;

2 Orang kaya sanggup melihat orang lain hidup susah asalkan mereka hidup senang di dunia ini;

3 Orang miskin seperti petani dan nelayan walaupun hidup susah, tetapi tidak pernah menyusahkan orang lain untuk mendapatkan sesuap nasi buat diri dan keluarga;

4 Apa-apa sahaja yang kita lakukan di dunia tidak terlepas daripada pengetahuan Allah;

5 Perbuatan yang baik pasti mendapat balasan yang baik, sementara perbuatan yang jahat pasti akan mendapat balasan yang setimpal.

Analisis Rangkap demi Rangkap

1

seorang pengarah

membuka akaun semasanya

di sebuah bank ternama

tetapi dalam diam

dia mencantum kemiskinan

orang lain

ke dalam amanahnya

yang telah lama pecah.

Seorang pegawai tinggi bertaraf pengarah membuka akaun semasa (boleh mengarahkan bank membuat bayaran dengan menandatangani cek) di sebuah bank terkenal. Proses membuka akaun semasa memerlukan tapisan yang ketat dari segi pendapatan dan kedudukan seseorang. Pengarah yang disebut oleh penyajak telah menggunakan kedudukannya dengan melakukan pecah amanah, iaitu menyeleweng dengan cara menafikan hak-hak orang-orang miskin untuk menambah kekayaan diri sendiri secara senyap.

2

di kampung

seorang petani

membuka akaun kemiskinannya

di ruang kedaifan

dan mengunci sedozen anak-anaknya

di dalam pagar sengsara

tetapi dia tidak pernah mencantum

kekayaan orang lain

ke dalam getirnya

yang sudah lama

berumbi.

Sebaliknya, seorang petani kampung hanya mampu kekal dalam kemiskinan dengan rumah yang serba daif dengan bilangan anak yang ramai dalam kesengsaraan hidup susah. Petani tidak pernah mengambil milik kekayaan orang lain. Dia pasrah dengan getir hidup (kesusahan) yang sudah sebati, serta telah diwarisi generasi demi generasi.

3

di pantai

seorang nelayan

membuka akaun sengsaranya

di rahang lalut ternganga

dan mengurung sederet anak-anaknya

di bawah pusaran nasib

tapi dia tidak pernah mengumpul

kesenangan orang lain

ke dalam kegusarannya

yang telah sekian musim

berlumut

di papan hidupnya.

Seorang nelayan pantai juga hanya bertahan dengan kesusahan hidup mencari rezeki di laut lepas yang penuh risiko. Walaupun terpaksa berkongsi nasib hidup yang tidak menentu dengan sejumlah anak yang ramai, sang nelayan juga tidak pernah mengambil kesempatan atas kesenangan orang lain bagi menoktahkan kesusahan hidup yang dilalui. Nelayan sudah biasa, lali, dan mangli dengan kemiskinan yang telah mencengkam hidup mereka anak-beranak sekian lama.

4

Tuhan tidak pernah mungkir

mencatatkan setiap angka

dan nilai hitungan paling kecil

ke dalam akaun-Nya

di rumah keadilan.

Setiap sen harta dan kekayaan yang dimiliki tidak akan terlepas daripada catatan Tuhan. Semuanya akan dihitung dan disoal pada hari kiamat kelak. Janji Tuhan ialah keadilan terhadap mereka yang memperoleh harta secara bersih, berbanding dengan golongan yang menimbun-nimbun harta secara tidak sah.

Monday, February 21, 2011

Keputusan STPM 21/02/11

KUALA LUMPUR: Seramai 46,780 pelajar atau 92.49 peratus calon lulus penuh bagi sekurangkurangnya satu mata pelajaran Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lepas.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata ini merupakan penurunan 0.06 peratus berbanding 48,481 atau 92.55 peratus pada 2009.

Seramai lapan calon mencapai keputusan gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil berbanding dengan 15 calon dalam STPM 2009, katanya.

"Daripada jumlah itu, tujuh calon adalah pelajar aliran sains manakala seorang lagi calon dari aliran sastera," katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2010 di sini, Isnin.

Seramai 50,576 calon menduduki STPM dari 23 November hingga 16 Disember tahun lepas di 760 buah pusat peperiksaan di seluruh negara. - BERNAMA

Friday, February 18, 2011

Tema dan Persoalan Novel Interlok (SPM)

Tema

Integrasi antara tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India melalui tiga keluarga yang berusaha untuk hidup bersama di Tanah Melayu yang aman, merdeka dan bersatu padu.

Sebagai buktinya, Seman, Maniam, Cing Huat dan Yew Hock hidup saling membantu dalam urusan kehidupan seharian dan seterusnya bekerjasama untuk mewujudkan masyarakat Malaya yang bersatu padu, aman dan harmoni. Kepelbagaian kaum tersebut merupakan keistimewaan yang wujud secara semula jadi berdasarkan fakta sejarah apabila orang Cina yang diwakili oleh Cing Huat, dan orang India yang diwakili oleh Maniam datang ke Tanah Melayu pada masa itu untuk mencari rezeki dan seterusnya tinggal dan menetap di negara ini.

Dalam kehidupan mereka, setiap kaum itu hidup saling bergantungan antara satu sama lain. Orang Melayu meminjam wang daripada orang Cina dan orang Cina pula menggunakan orang Melayu untuk membeli tanah orang Melayu. Sebagai contohnya, Cina Panjang (Cing Huat) memberikan wang iaitu dengan meminjamkannya kepada Musa dan sebaliknya Cing Huat menggunakan Musa untuk membeli tanah orang Melayu. Musa pula telah menyelamatkan Maniam daripada dipukul dengan teruk dan Maniam membalas jasa Musa dengan memberikan bantuan kepada anaknya iaitu Seman untuk mendapatkan kerja di ladang di tempat Maniam bekerja sebagai tandil.

Kehidupan pelbagai kaum dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina, dan India itu berlangsung dengan aman, saling bergantungan dan tiada persengketaan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum. Mereka berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan harmoni serta menjadikan negara ini negara yang merdeka dan berdaulat.
Persoalan

1. Tolong-menolong dalam kehidupan bermasyarakat.

Seman menolong Poh Eng dengan membawanya ke ladang di tempat Maniam berkerja untuk menyelamatkan diri.


2. Kerajinan dalam mencari rezeki.

Seman rajin bekerja di sawah bapa mentuanya iaitu selepas menuai padi, dia menanam sayur-sayuran dan kacang dan sebagainya di atas tanah itu.
3. Ketabahan dalam menghadapi kehidupan yang mencabar.

Seman tabah menghadapi hidupnya dan berusaha untuk mencari pekerjaan bagi memulakan hidup baru bersama-sama dengan emaknya selepas disuruh meninggalkan rumahnya oleh Cina Panjang.
4. Kegigihan untuk memajukan diri.

Seman gigih bekerja di ladang getah dan berjaya mengumpulkan wang untuk dijadikan belanja majlis perkahwinannya dengan Gayah.
5. Ketaatan kepada perintah agama.

Seman menunaikan sembahyang Jumaat di masjid Kampung Nyiur Condong selepas dua tahun setengah meninggalkan kampungnya itu..
6. Semangat cinta akan negara yang aman dan tenteram.

Lazim, Cing Huat dan Raman sama-sama berjuang untuk kaum masing-masing dan mereka berpendapat agar setiap kaum itu bersatu untuk mewujudkan satu masyarakat Malaya yang aman dan damai.
7. Menghormati orang yang lebih tua dalam masyarakat.

Mat Ranggi menghormati Lebai Seman yang menjadi wakil kepada Seman walaupun dia tidak bersetuju dengan hasrat Seman untuk mengambil anaknya sebagai isteri.
8. Semangat bermasyarakat dalam kehidupan seharian.

Semua penduduk kampung menziarahi mayat Musa yang meninggal dunia dan masing-masing melakukan kerja untuk mengurusakan mayatnya itu.
9. Menghargai jasa atau budi orang lain.

Poh Eng memberitahu bapanya bahawa Seman dan Mak Limah yang menyelamatkannya daripada malapetaka walaupun ayahnya mengatakan mereka yang menyebabkan Poh terpisah dengannya.
10. Keberanian dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
Poh Eng berani menembak Suppiah demi menyelamatkan nyawa Maniam yang pernah membantunya.
11. Semangat perpaduan tanpa mengira kaum.

Yew Seng dan Lazim bermain bersama-sama dan mereka berkawan baik walaupun ayahnya Cing Huat melarangnya daripada berbuat begitu.
12. Kekejaman tentera Jepun dan komunis.

Tentera Jepun merampas basikal, jam tangan dan bahan makanan penduduk kampung. Anggota komunis pula membunuh sesiapa sahaja yang bekerjasama dengan pihak Jepun.
13. Kesabaran dalam menghadapi cabaran.
Malini sabar menanti kepulangan Maniam yang bekerja di tempat lain hinggalah dia meninggal dunia.
14. Perjuangan yang sia-sia perlu ditinggalkan.

Yew Seng dan Poh Eng menyedari bahawa perjuangan mereka bersama-sama dengan pengganas komunis ialah perjuangan sia-sia dan perjuangan yang dilakukan oleh ayahnya dan Lazim itulah perjuangan yang sebenar.
15. Kasih sayang dalam keluarga.

Maniam sayang akan isterinya Malini, dan amat berat untuk meninggalkannya. Begitu juga dengan Seman yang sayang akan ayahnya dan dia sanggup menjaga bapanya yang sedang sakit tenat sepanjang malam. Cing Huat juga sayang akan anak dan isterinya dengan menyuruh isterinya Tua Pao dan anaknya Poh Kheng berlindung di rumah bapa mentuanya ketika kedatangan tentera Jepun

Thursday, February 17, 2011

Industri Hiburan Tanah Air

SOALAN KARANGAN:


Keburukan penglibatan pelajar dalam industri hiburan tanah air.

...............Dewasa ini, industri hiburan tanah air semakin berkembang maju. Kemajuan industri ini dapat dilihat melalui monopoli media massa tempatan baik media cetak mahupun media elektronik yang lebih cenderung pada berita-berita bercorak keseronokan berbanding dengan berita bercorak pengetahuan. Namun apa yang amat dikesali, ada juga golongan yang cuba meraih keuntungan mudah dengan mengeksploitasi para remaja khususnya golongan pelajar agar melibatkan diri dalam dunia hiburan biarpun sepatutnya mereka perlu menggalas wadah memajukan diri dalam bidang pendidikan. Lantaran budaya berhibur melebihi keutamaan menuntut ilmu, situasi kini sudah pasti memberi impak yang negatif kepada generasi akan datang. Justeru, apakah kewajaran yang membolehkan golongan pelajar melibatkan diri dalam dunia hiburan dan apakah pula kesannya?

...............Antara kesan negatif yang bakal timbul ialah kesukaran pelajar untuk membahagikan waktu di antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama mereka iaitu menuntut ilmu. Dalam usia yang masih terlalu muda, dunia pelajar seharus ditumpukan sepenuhnya untuk memperoleh ilmu sebagai menggalas aspirasi menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan. Namun jika mereka terlibat dengan dunia hiburan, masa yang ada terpaksa dibahagikan pula dengan tanggungjawab mereka untuk memajukan diri dalam bidang hiburan. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan keupayaan mereka meluangkan waktu pada pelajaran dan kesannya bakal memberi impak yang tidak baik kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya seseorang pelajar terlibat secara langsung dalam bidang nyanyian atau lakonan, mereka memerlukan masa yang panjang bukan sahaja untuk mengikuti penggambaran atau pertunjukan yang diadakan malah masa untuk berlatih juga perlu diambil kira. Justeru, kesannya akan menyebabkan kesukaran kepada mereka untuk memperuntukan waktu yang secukupnya pada pelajaran.

...............Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam Program Realiti Hiburan seperti yang kerap kita lihat di kaca televisyen akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah. Penglibatan mereka juga menyebabkan pelajar terpaksa mengambil cuti untuk melaksanakan kehendak penganjur hiburan mengadakan pertunjukan di mana-mana juga. Akibat terikat dengan kontrak bersama dengan syarikat hiburan, para pelajar terpaksa melupakan tugas utama mereka dalam usia muda iaitu melaksanakan aspek pembelajaran dan mengikuti aktiviti kokurikulum yang telah ditetapkan. Hal seperti ini akan menyebabkan para pelajar yang terbabit ketinggalan dalam pelajaran dan menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan. Bayangkanlah, apa yang bakal berlaku kepada generasi kita pada masa depan jika rakyatnya tidak berilmu lantaran memilih bidang hiburan dan mengetepikan ilmu pengetahuan. Janganlah pula sampai ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’.

...............Realiti hidup sebagai seniman sebenarnya adalah terlalu kompleks dan penuh dengan tipu muslihat. Persoalannya, mampukah golongan remaja seperti pelajar mengharungi kehidupan dan menyahut cabaran dalam dunia artis yang penuh cabaran? Bakat yang dimiliki sahaja mungkin tidak mencukupi jika ilmu di dada tidak seberapa. Menyertai bidang hiburan memerlukan seseorang yang mampu mendepani segala rintangan, apatah lagi dunia hiburan masa kini berdepan dengan pelbagai saingan yang terlalu rumit. Dalam usia setahun jagung, kemungkinan untuk menempa nama dalam dunia hiburan adalah terlalu kecil, lantas mereka berdepan pula dengan kemungkinan menghadapi kegagalan. Mampukah golongan semuda ini berdepan dengan kegagalan? Kita amat bimbang, kegagalan akan menjerumuskan golongan pelajar dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, sek bebas dan sebagainya. Justeru, sebelum menceburi bidang hiburan, remaja khususnya pelajar perlulah bijak menilai dan memilih sebelum membuat keputusan.

...............Selain itu, dunia hiburan dan pendidikan dilihat sebagai dua dunia yang begitu berbeza. Lihat sahaja pertuturan seorang artis, pergaulan bebas sesame peminat, pakaian malah keseluruhan gaya hidup mereka. Hal ini amat berbeza sama sekali dengan objektif pendidikan yang berperanan melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani. Ambil sahaja contoh rambut seorang artis, bergaya, panjang dan berwarna. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak didiplin yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Persoalannya nanti, mahukah golongan golongan pelajar yang telah masuk dalam golongan artis berpakaian kemas, berambut pendek dan menggayakan perlakuan sopan di khalayak ramai? Mampukah mereka merendahkan rasa ego mereka apabila berada di sekolah bersama rakan-rakan mereka yang lain? Kesannya lebih menjurus pada keburukan dan boleh mewujudkan konflik dalam diri pelajar terbabit. Hal inilah yang perlu difikirkan dengan serius sebelum mengambil pendirian untuk menyertai bidang hiburan.

...............Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang menyertai bidang hiburan adalah individu yang mementingkan ‘glamour’ dan bersifat meterialistik. Kenyataan ini mungkin ada kebenarannya jika dilihat dari situasi industry hiburan kita pada hari ini. Kejayaan seseorang pelajar dalam dunia hiburan mungkin bakal melahirkan pelajar yang bersifat bongkak, sombong dan memandang rakan dan guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai. Lihat sahaja perlakuan seorang artis remaja ketika bercakap dengan seorang jururawat di sebuah hospital. Apa pula pandangan anda jika seorang artis remaja mengherdik seorang pengawal di sebuah lapangan terbang di Sepang? Sikap bongkak ini lahir apabila mereka merasakan diri mereka terlalu ‘glamour’ sehingga memandang rendah orang lain yang bukan golongan artis. Natijahnya, sikap negatif sebegini lahir disebabkan kurangnya nilai-nilai moral yang sepatutnya mereka pelajari di sekolah. Malangnya, oleh sebab terlalu banyak waktu digunakan untuk dunia hiburan, nilai-nilai moral sebegini terus dilupakan.

...............Intiharnya, dunia hiburan masa kini bukanlah dunia seorang pelajar. Sebagai pelajar, mereka perlu mempunyai acuan sendiri iaitu menyahut cabaran mendepani bidang ilmu yang terlalu luas dan tidak bertepi. Menuntut ilmu memerlukan komitmen yang menyeluruh dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Andai terbuka hati untuk menyertai industri hiburan, berilah ruang untuk memenuhi ilmu di dada terlebih dahulu kerana hanya ilmu yang mampu membina impian masa depan gemilang.

Wednesday, February 16, 2011

Watak-Watak Dalam Interlok

1. Seman

Seman ialah anak tunggal Pak Musa dan Mak Limah. Kulitnya lebih cerah daripada kulit bapanya. Dia tidak bersekolah dan cuma belajar mengaji Quran dengan Lebai Man. Oleh itu, dia buta huruf dan tidak tahu membaca dan menulis. Dia berkahwin dengan Gayah, anak Mat Ranggi dan dikurniakan dua orang anak. Dia rajin bekerja, buktinya dia rajin mengusahakan tanah sawah bapa mentuanya dengan menanam sayur-sayuran dan kacang selepas menuai padi. Seman tabah menghadapi dugaan dalam kehidupan, contohnya dia tabah mengharungi hidupnya yang berliku bersama-sama dengan ibunya selepas diarahkan keluar oleh Cina Panjang dari rumahnya. Dia seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan ayah dan ibunya. Seman hormat dan taat akan orang tua, buktinya Seman hormat kepada ibu dan ayahnya dan tidak membantah kata-kata mereka. Seman seorang yang berani, contohnya dia berani menjemput Pak Utih yang menjadi dukun ke rumahnya pada waktu malam untuk mengubati ayahnya yang sakit, setelah disuruh oleh emaknya seorang diri. Dia bersabar ketika menghadapi dugaan, contohnya dia bersabar ketika menghadapi kematian ayahnya dan menghadapi kehidupan baharu bersama-sama dengan ibunya selepas kematian ayahnya di kebun Cangkat Janggus. Dia suka menolong orang dan tidak menyimpan perasaan dendam, contohnya Seman menolong Poh Eng dengan memberikan perlindungan kepadanya. Perkara itu berlaku selepas kedai Cing Huat dimasuki perompak walaupun dia marah akan Cing Huat. Seman kuat beribadat terutamanya selepas kematian ayahnya, contohnya dia bangun pada waktu tengah malam untuk bersolat sunat dan berdoa kepada Allah. Di samping itu, dia juga menunaikan solat wajib, contohnya dia bersembahyang Jumaat di masjid Kampung Nyiur Condong. Seman bersemangat patriotik, buktinya dia hendak merayakan kemerdekaan negara yang diadakan di Kuala Lumpur.

Seman berfikir secara rasional dan bertindak dengan matang untuk menyelesaikan masalah, contohnya dia telah berjumpa dengan Cing Huat dan bertanyakan hal geran tanah, dan perjanjian dengan bapanya itu. Dia juga mendapatkan pandangan penghulu tentang masalahnya itu dengan ditemani oleh Lebai Man. Seman mudah bersimpati, contohnya dia bersimpati dengan Poh Eng dan membantunya untuk mendapatkan termpat berlindung.


2. Cing Huat

Cing Huat ialah anak Kim Lock yang datang dari negara China dengan ayahnya. Dia digelar Cina Panjang oleh orang-orang kampung. Badannya gemuk dan perutnya gendut. Cing Huat berhijarah ke Malaya untuk mencari pekerjaan dan mengumpul kekayaan. Cing Huat tabah dan gigih, contohnya dia pernah bekerja sebagai pembantu kedai makan dan kedai runcit di Singapura serta bekerja di lombong bijih bersama-sama dengan bapanya ketika berusia sepuluh tahun. Dia berkahwin dengan Tua Pao dan memperoleh empat orang anak, iaitu Yew Huat, Yew Seeng, Poh Eng dan Poh Kheng. Dia seorang yang pemarah dan panas baran, contohnya dia marah dan menampar Yew Seng kerana melawan kata-katanya. Dia berprasangka buruk terhadap orang Melayu dan menganggap bahawa mereka malas. Oleh sebab itu, dia tidak suka akan anaknya, Yew Seng yang berkawan dengan budak-budak Melayu. Cing Huat rajin bekerja dan akhirnya dia menjadi tauke kedai runcit yang berjaya. Walaupun dia menyuruh anaknya mengurangkan timbangan sedikit dalam urusan jual beli tetapi dia seorang yang pemurah, buktinya dia mendermakan wangnya sebanyak lima ratus ringgit untuk membina sekolah Cina di pekan Simpang Empat. Selain itu, dia memberikan pinjaman wang kepada Pak Musa dan menggunakan nama Pak Musa untuk membeli tanah orang-orang Melayu. Dia juga murah hati untuk menanggung perbelanjaan tambang bas bagi orang-orang kampung yang hendak merayakan kemerdekaan negara di Kuala Lumpur. Namun begitu, dia tidak boleh bertolak ansur dengan syarat pemilikan tanah dan buktinya dia mengarahkan Seman dan Pak Cin keluar dari rumah dan tanahnya. Cing Huat pintar dan bijak dalam perniagaan, terutamanya dia menawar harga yang paling murah kepada orang yang hendak menjual barang kepadanya tetapi dia tidak akan mengurangkan harga orang yang hendak membeli barang jualannya. Dia juga bijak untuk mengumpulkan harta, iaitu dengan menggunakan orang Melayu seperti Pak Musa dan Pak Cin untuk menjadi proksinya membeli tanah orang Melayu.


3. Maniam

Maniam berasal dari sebuah kampung di Kerala yang terletak di sebuah negeri di pantai barat India Selatan, dan dia datang ke Malaya untuk mencari rezeki kerana keadaan hidupnya yang terlalu miskin di India. Badannnya tegap dan tinggi, tulang rangkanya besar, dan berkulit hitam. Dia baru berumur 30 tahun semasa tiba di Pulau Pinang. Isterinya yang terpaksa ditinggalkan di India lari mengikut lelaki lain dan dia berkahwin pula dengan Malini, anak Perumal di kebun Cangkat Lima. Maniam rajin bekerja, contohnya dia melakukan berbagai-bagai kerja seperti menjadi kuli di pelabuhan dan bekerja di kebun kelapa di Cangkat Lima serta kebun getah di Cangkat Janggus. Maniam tidak suka akan fitnah, buktinya dia marah akan Suppiah yang telah memfitnahnya iaitu dengan mengatakan bahawa dia sudah berkahwin dan meninggalkan isterinya dalam keadaan miskin di India kepada Mariama dan pekerja-pekerja di ladang itu. Maniam seorang yang rasional, contohnya dia tidak mahu memberikan alasan dan menerangkan perkara yang sebenarnya kepada bapa mentuanya yang kecewa dengannya setelah mengetahui latar belakangnya itu. Dia seorang yang berani dan benci akan orang yang suka berbohong dan menceritakan keburukan orang lain, contohnya oleh sebab terlalu marah, Maniam mengejar Suppiah yang menyebarkan cerita buruk tentang dirinya. Namun begitu, perkara lain pula yang berlaku iaitu dia ditembak oleh pengurus ladang kerana menyangka Maniam hendak membalas dendam terhadapnya kerana memukulnya di kebun sebelum itu. Walau bagaimanapun, Maniam mendengar kata orang yang lebih tua, contohnya selepas peristiwa itu bapa mentuanya, Perumal menyuruhnya pergi ke tempat lain untuk mencari pekerjaan dan meninggalkan isterinya di situ bagi mengelakkan persengketaan yang berlarutan. Dia akur dengan kata-kata bapa mentuanya itu. Maniam suka menolong orang, contohnya dia menolong Seman untuk mendapatkan kerja di kebun tempatnya bekerja. Selain itu, dia seorang yang mengenang budi, contohnya Maniam mengenang budi Musa yang telah menyelamatkannya ketika dia dipukul oleh orang yang tidak dikenali ketika hendak meninggalkan kebun Cangkat Lima pada suatu awal pagi. Maniam seorang yang penyayang, buktinya dia amat berat hati untuk meninggalkan isterinya yang sarat mengandung. Maniam bertemu dengan anaknya, Inspektor Ramakrisyhnan yang tidak pernah dilihatnya itu semasa dia ditahan oleh Jepun. Dia bersimpati kepada orang lain, contohnya dia bersimpati dengan Mak Limah yang ditangkap oleh Jepun dan meminta anaknya Rama membebaskan Mak Limah

Rahsia Orang Malas Jana Duit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...