Monday, April 4, 2011

Bahasa Melayu: Sumbangan Pemimpin Kepada Negara


Huraikan
pendapat anda tentang sumbangan para pemimpin kepada negara.

1. Tunku Abdul Rahman

2. Tun Abdul Razak

3. Tun Hussein Onn

4. Tun Dr Mahathir Muhammad

5. Tun Abdullah Ahmad Badawi

6. Datuk Seri Najib Tun RazakNDREWCHOO.EDU.MY

Sumbangan Para Pemimpin kepada Negara

Tunku Abdul Rahman

- Bapa Kemerdekaan Negara

- berunding secara aman dengan pihak Inggeris untuk memperoleh kemerdekaan

- tidak mencetuskan darah atau nyawa atas kebijaksanaannya

Tun Abdul Razak

- Bapa Pembangunan Negara

- mewujudkan rancangan Felda di negara kita

- taraf hidup rakyat bertambah baik

Tun Husein Onn

- Bapa Perpaduan Negara

- melaksanakan pelbagai program dalam perpaduan negara

- hidup dalam keadaan aman dan harmoni

Tun Dr Mahathir Muhammad

- Bapa Pemodenan Negara

- membina banyak mercu tanda keagungan negara

- membawa negara standing dengan negara maju yang lain

Tun Abdullah Ahmad Badawi

- Bapa Pembangunan Modal Insan

- memperkenalkan Islam Hadari

- memberantas rasuah habis-habisan

Datuk Seri Najib Tun Razak

- Bapa 1 Malaysia

- berkonsepkan perpaduan antara kaum

- berjiwa rakyat yang sejati


http://www.4shared.com/file/-Cji_Ovh/bonus.html

Tuesday, March 29, 2011

Interlok (SPM)

Muhyiddin: Isu Interlok selesai dengan baik

KUALA LUMPUR 24 Mac - Isu novel Interlok sudah selesai apabila kerajaan bersetuju dengan dapatan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok (Panel Bebas) yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada 19 perkara itu, tiga daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu (Paria) dalam novelnya dan digantikan dengan perkataan 'golongan yang sama'.

Menurutnya, tiga perkara lagi iaitu berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai.

Katanya, daripada 13 lagi perkara yang berbaki, tujuh perkara turut diselesaikan apabila Panel Bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan 'errata' di dalam novel itu bagi membuat pembetulan dan pengguguran.

Jelasnya, enam perkara lain juga selesai kerana penulis turut bersetuju untuk meminda perkataan 'tuhan' kepada 'dewa' dan menggugurkan frasa 'orang berkulit hitam'.

"Panel Bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan 'tali' dipinda kepada 'taali.

"Alhamdulillah, dengan persetujuan yang dicapai oleh Panel Bebas dan perakuan yang dikemukakan kepada kerajaan, isu ini telah dapat diselesaikan dengan baik.

"Dengan semangat musyawarah dan muafakat serta kesediaan untuk mendengar dan menerima, kita telah buktikan bahawa serumit manapun kemelut yang kita hadapi, kita dapat mengharunginya dengan tabah dan sabar. Dengan persetujuan yang telah dicapai, kementerian menganggap bahawa isu ini telah selesai," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abd. Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) serta empat lagi pertanyaan ahli Parlimen lain berhubung kedudukan Interlok sebagai teks Komponen Sastera (Komsas) dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu pelajar tingkatan lima pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Kata Muhyiddin, kementerian akan menyediakan glosari bagi memperjelaskan beberapa frasa dan konsep dalam novel itu untuk memudahkan pelajar memahami konteks novel yang memaparkan kehidupan harmoni masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

n PENJELASAN PENUH TPM, MUKA 12

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, penelitian yang dicapai oleh Panel Bebas membuktikan bahawa pengguguran frasa yang menyebabkan kemelut pada novel Interlok adalah satu testimoni nyata bahawa tiada satu isu yang tidak boleh diselesaikan melalui meja rundingan.

Jelasnya, semua ahli panel termasuk wakil masyarakat India bersetuju untuk menyerahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit membuat suntingan yang wajar terhadap novel itu dalam cetakan akan datang.

Tambah beliau, episod Interlok menjadi bukti kepada rakyat negara ini betapa semangat perpaduan, penerimaan dan hormat-menghormati antara kaum selaras dengan gagasan 1Malaysia terus subur.

Beliau seterusnya merakamkan penghargaan kepada ahli Panel Bebas iaitu Pengerusi, Prof. Datuk Shamsul Amri Baharuddin; isteri penulis Interlok yang mewakilinya, Datin Siti Saroja Basri; Prof. Datuk Zainal Abidin Borhan; Datuk Termuzi Abdul Aziz; Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin; Prof. Dr. NS Rajendran; G. Krishnabahawan dan penulis bebas, Uthaya Sankar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan MIC yang telah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri selaku Menteri Pelajaran untuk mengambil keputusan bersama bagi menyelesaikan isu itu.

Thursday, March 10, 2011

Interlok: Nilai-Nilai Murni


Banyak nilai murni yang terdapat dalam novel Interlok yang dapat dijadikan contoh oleh pelajar-pelajar dalam kehidupan seharian, antaranya seperti yang disenaraikan di bawah ini.

1. Tolong-menolong

Musa menolong Maniam yang dipukul oleh orang yang tidak dikenali ketika dia hendak meninggalkan ladang tempatnya bekerja pada suatu pagi dan Maniam pula menolong Seman mendapatkan kerja di ladang tempatnya bekerja.
2. Menghargai jasa

Maniam menghargai jasa Musa yang menolongnya ketika dia dipukul oleh orang yang tidak dikenali dan Poh Eng menghargai jasa Seman dan Mak Limah yang memberikan perlindungan kepadanya.
3. Hormat-Menghormati

Seman menghormati ayah dan ibunya dan dia tidak pernah meninggikan suara apabila bercakap dengan mereka dan dia juga mematuhi arahan dan melakukan setiap perkara yang disuruh oleh ibunya.
4. Kerajinan

Seman rajin bekerja sejak ayahnya sakit dan dialah yang membelah kayu api. Seman juga rajin mengusahakan tanah sawah bapa mentuanya dengan menanam sayur-sayuran, kacang dan pelbagai tanaman lain.
5. Ketabahan

Maniam tabah menghadapi dugaan hidupnya susah dengan berhijrah ke Malaya untuk mencari pekerjaan dan seterusnya dia bekerja di beberapa tempat seperti kuli di pelabuhan di Pulau Pinang hinggalah dia bekerja tetap dan dilantik sebagai tandil di kebun getah.
6. Kegigihan

Cing Huat gigih bekerja untuk membesarkan kedai dan perniagaanya dan dia menjual pelbagai barangan dan akhirnya dia berjaya menjadi tauke atau peniaga yang berjaya.
7. Semangat cinta akan negara

Lazim, Mail Jambul, dan Berahim menyeru orang-orang Melayu bersatu padu dan berjuang untuk mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan raja-raja.
8. Semangat perpaduan

Masyarakat Melayu, Cina dan India hidup dengan aman dan harmoni di Simpang Empat, Cangkat Lima, Cangkat Janggus, dan kawasan kampung yang lain tanpa persengketaan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
9. Keberanian

Musa berani untuk menyelamatkan Maniam yang dipukul oleh orang yang tidak dikenali dan Seman berani menjemput dukun untuk mengubati ayahnya yang sakit pada suatu malam, seorang diri.
10. Mengenang Budi

Poh Eng mengenang budi Seman dan Mak Limah yang pernah memberikan perlindungan kepadanya dan Maniam juga mengenang budi Musa yang membantunya ketika dia dipukul. Maniam membalas budi Musa dengan menolong Seman untuk mendapatkannya kerja di kebun tempatnya bekerja itu.
11. Taat akan perintah agama

Apabila Seman sampai di surau, dia terus mengambil wuduk dan berdiri di saf kedua untuk menunaikan sembahyang Isyak di surau Kampung Nyiur Condong pada suatu malam.
12. Kasih sayang

Isteri Cing Huat amat sayang kepada anaknya terutamanya Poh Kheng dan Poh Eng. Dia menjerit dan meratap apabila menyedari Poh Eng hilang ketika peristiwa rompakan berlaku di kedainya pada suatu malam.
13. Menepati janji

Seman menepati janjinya dengan Mamat Labu iaitu dia sampai di surau selepas sembahyang Isyak seperti yang dijanjikan tetapi Mamat Labu yang tidak muncul. Maniam juga menepati janjinya dengan mendapatkan kerja untuk Seman di kebun getah itu.
14. Kesabaran

Malini bersabar dengan menunggu kepulangan suaminya Maniam selepas suaminya itu disuruh pergi ke tempat lain oleh ayahnya. Seman juga bersabar dengan dugaan yang menimpa dirinya iaitu semasa bapanya meninggal dunia.
15. Mengakui kesilapan

Mat Ranggi mengakui kesilapannya yang menolak semua pinangan kerana orang yang hendak meminang anaknya itu tidak setaraf dengannya, tetapi akhirnya dia menyedari kesilapannya itu dengan menerima Seman yang miskin dan tidak berharta sebagai menantunya.
16. Ketekunan

Selepas menolong ibunya di dapur, Poh Eng mengambil sulamannya dan mula menyulam kain dengan tekun di meja makan.
17. Semangat setiakawan

Persahabatan Yew Seng dengan Lazim begitu erat dan dia lebih dekat dengan orang-orang Melayu, hinggakan kalau Lazim dipukul orang, dia akan berasa dirinya sendiri yang kena pukul dan dia mahu berkorban untuk membela Lazim kalau perlu.
18. Ketaatan

Malini taat kepada suaminya Maniam iaitu dia melayannya dengan baik, mendengar katanya dan tidak membenarkan suaminya itu memasak nasi kerana kerja itu sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang isteri

Thursday, February 24, 2011

Sajak: Kecek - (V)-Antologi Tingkatan 5

Pengenalan

Sajak empat rangkap bernombor siri karya Awang Abdullah yang bertajuk "Kecek - (V) dipilih untuk pembelajaran komsas tingkatan 5 menerusi antologi "Dirgahayu Bahasaku", muka surat 22 - 23. Sumber ambilan asalnya ialah Dewan Sastera, 1989. Maknanya, sajak "Kecek - (V)" telah berusia lebih dua dekad, tetapi kekal relevan sepanjang zaman.

Bahagian pengenalan antologi (muka surat 18) memberikan gambaran yang agak terperinci tentang maksud sajak yang disampaikan. Antara lain dicatatkan:

1 Penyajak secara sinis menegur sikap orang kaya yang tidak jujur dalam mengumpul harta untuk diri dan keluarga;

2 Orang kaya sanggup melihat orang lain hidup susah asalkan mereka hidup senang di dunia ini;

3 Orang miskin seperti petani dan nelayan walaupun hidup susah, tetapi tidak pernah menyusahkan orang lain untuk mendapatkan sesuap nasi buat diri dan keluarga;

4 Apa-apa sahaja yang kita lakukan di dunia tidak terlepas daripada pengetahuan Allah;

5 Perbuatan yang baik pasti mendapat balasan yang baik, sementara perbuatan yang jahat pasti akan mendapat balasan yang setimpal.

Analisis Rangkap demi Rangkap

1

seorang pengarah

membuka akaun semasanya

di sebuah bank ternama

tetapi dalam diam

dia mencantum kemiskinan

orang lain

ke dalam amanahnya

yang telah lama pecah.

Seorang pegawai tinggi bertaraf pengarah membuka akaun semasa (boleh mengarahkan bank membuat bayaran dengan menandatangani cek) di sebuah bank terkenal. Proses membuka akaun semasa memerlukan tapisan yang ketat dari segi pendapatan dan kedudukan seseorang. Pengarah yang disebut oleh penyajak telah menggunakan kedudukannya dengan melakukan pecah amanah, iaitu menyeleweng dengan cara menafikan hak-hak orang-orang miskin untuk menambah kekayaan diri sendiri secara senyap.

2

di kampung

seorang petani

membuka akaun kemiskinannya

di ruang kedaifan

dan mengunci sedozen anak-anaknya

di dalam pagar sengsara

tetapi dia tidak pernah mencantum

kekayaan orang lain

ke dalam getirnya

yang sudah lama

berumbi.

Sebaliknya, seorang petani kampung hanya mampu kekal dalam kemiskinan dengan rumah yang serba daif dengan bilangan anak yang ramai dalam kesengsaraan hidup susah. Petani tidak pernah mengambil milik kekayaan orang lain. Dia pasrah dengan getir hidup (kesusahan) yang sudah sebati, serta telah diwarisi generasi demi generasi.

3

di pantai

seorang nelayan

membuka akaun sengsaranya

di rahang lalut ternganga

dan mengurung sederet anak-anaknya

di bawah pusaran nasib

tapi dia tidak pernah mengumpul

kesenangan orang lain

ke dalam kegusarannya

yang telah sekian musim

berlumut

di papan hidupnya.

Seorang nelayan pantai juga hanya bertahan dengan kesusahan hidup mencari rezeki di laut lepas yang penuh risiko. Walaupun terpaksa berkongsi nasib hidup yang tidak menentu dengan sejumlah anak yang ramai, sang nelayan juga tidak pernah mengambil kesempatan atas kesenangan orang lain bagi menoktahkan kesusahan hidup yang dilalui. Nelayan sudah biasa, lali, dan mangli dengan kemiskinan yang telah mencengkam hidup mereka anak-beranak sekian lama.

4

Tuhan tidak pernah mungkir

mencatatkan setiap angka

dan nilai hitungan paling kecil

ke dalam akaun-Nya

di rumah keadilan.

Setiap sen harta dan kekayaan yang dimiliki tidak akan terlepas daripada catatan Tuhan. Semuanya akan dihitung dan disoal pada hari kiamat kelak. Janji Tuhan ialah keadilan terhadap mereka yang memperoleh harta secara bersih, berbanding dengan golongan yang menimbun-nimbun harta secara tidak sah.

Monday, February 21, 2011

Keputusan STPM 21/02/11

KUALA LUMPUR: Seramai 46,780 pelajar atau 92.49 peratus calon lulus penuh bagi sekurangkurangnya satu mata pelajaran Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lepas.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata ini merupakan penurunan 0.06 peratus berbanding 48,481 atau 92.55 peratus pada 2009.

Seramai lapan calon mencapai keputusan gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil berbanding dengan 15 calon dalam STPM 2009, katanya.

"Daripada jumlah itu, tujuh calon adalah pelajar aliran sains manakala seorang lagi calon dari aliran sastera," katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2010 di sini, Isnin.

Seramai 50,576 calon menduduki STPM dari 23 November hingga 16 Disember tahun lepas di 760 buah pusat peperiksaan di seluruh negara. - BERNAMA

Friday, February 18, 2011

Tema dan Persoalan Novel Interlok (SPM)

Tema

Integrasi antara tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India melalui tiga keluarga yang berusaha untuk hidup bersama di Tanah Melayu yang aman, merdeka dan bersatu padu.

Sebagai buktinya, Seman, Maniam, Cing Huat dan Yew Hock hidup saling membantu dalam urusan kehidupan seharian dan seterusnya bekerjasama untuk mewujudkan masyarakat Malaya yang bersatu padu, aman dan harmoni. Kepelbagaian kaum tersebut merupakan keistimewaan yang wujud secara semula jadi berdasarkan fakta sejarah apabila orang Cina yang diwakili oleh Cing Huat, dan orang India yang diwakili oleh Maniam datang ke Tanah Melayu pada masa itu untuk mencari rezeki dan seterusnya tinggal dan menetap di negara ini.

Dalam kehidupan mereka, setiap kaum itu hidup saling bergantungan antara satu sama lain. Orang Melayu meminjam wang daripada orang Cina dan orang Cina pula menggunakan orang Melayu untuk membeli tanah orang Melayu. Sebagai contohnya, Cina Panjang (Cing Huat) memberikan wang iaitu dengan meminjamkannya kepada Musa dan sebaliknya Cing Huat menggunakan Musa untuk membeli tanah orang Melayu. Musa pula telah menyelamatkan Maniam daripada dipukul dengan teruk dan Maniam membalas jasa Musa dengan memberikan bantuan kepada anaknya iaitu Seman untuk mendapatkan kerja di ladang di tempat Maniam bekerja sebagai tandil.

Kehidupan pelbagai kaum dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina, dan India itu berlangsung dengan aman, saling bergantungan dan tiada persengketaan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum. Mereka berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan harmoni serta menjadikan negara ini negara yang merdeka dan berdaulat.
Persoalan

1. Tolong-menolong dalam kehidupan bermasyarakat.

Seman menolong Poh Eng dengan membawanya ke ladang di tempat Maniam berkerja untuk menyelamatkan diri.


2. Kerajinan dalam mencari rezeki.

Seman rajin bekerja di sawah bapa mentuanya iaitu selepas menuai padi, dia menanam sayur-sayuran dan kacang dan sebagainya di atas tanah itu.
3. Ketabahan dalam menghadapi kehidupan yang mencabar.

Seman tabah menghadapi hidupnya dan berusaha untuk mencari pekerjaan bagi memulakan hidup baru bersama-sama dengan emaknya selepas disuruh meninggalkan rumahnya oleh Cina Panjang.
4. Kegigihan untuk memajukan diri.

Seman gigih bekerja di ladang getah dan berjaya mengumpulkan wang untuk dijadikan belanja majlis perkahwinannya dengan Gayah.
5. Ketaatan kepada perintah agama.

Seman menunaikan sembahyang Jumaat di masjid Kampung Nyiur Condong selepas dua tahun setengah meninggalkan kampungnya itu..
6. Semangat cinta akan negara yang aman dan tenteram.

Lazim, Cing Huat dan Raman sama-sama berjuang untuk kaum masing-masing dan mereka berpendapat agar setiap kaum itu bersatu untuk mewujudkan satu masyarakat Malaya yang aman dan damai.
7. Menghormati orang yang lebih tua dalam masyarakat.

Mat Ranggi menghormati Lebai Seman yang menjadi wakil kepada Seman walaupun dia tidak bersetuju dengan hasrat Seman untuk mengambil anaknya sebagai isteri.
8. Semangat bermasyarakat dalam kehidupan seharian.

Semua penduduk kampung menziarahi mayat Musa yang meninggal dunia dan masing-masing melakukan kerja untuk mengurusakan mayatnya itu.
9. Menghargai jasa atau budi orang lain.

Poh Eng memberitahu bapanya bahawa Seman dan Mak Limah yang menyelamatkannya daripada malapetaka walaupun ayahnya mengatakan mereka yang menyebabkan Poh terpisah dengannya.
10. Keberanian dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
Poh Eng berani menembak Suppiah demi menyelamatkan nyawa Maniam yang pernah membantunya.
11. Semangat perpaduan tanpa mengira kaum.

Yew Seng dan Lazim bermain bersama-sama dan mereka berkawan baik walaupun ayahnya Cing Huat melarangnya daripada berbuat begitu.
12. Kekejaman tentera Jepun dan komunis.

Tentera Jepun merampas basikal, jam tangan dan bahan makanan penduduk kampung. Anggota komunis pula membunuh sesiapa sahaja yang bekerjasama dengan pihak Jepun.
13. Kesabaran dalam menghadapi cabaran.
Malini sabar menanti kepulangan Maniam yang bekerja di tempat lain hinggalah dia meninggal dunia.
14. Perjuangan yang sia-sia perlu ditinggalkan.

Yew Seng dan Poh Eng menyedari bahawa perjuangan mereka bersama-sama dengan pengganas komunis ialah perjuangan sia-sia dan perjuangan yang dilakukan oleh ayahnya dan Lazim itulah perjuangan yang sebenar.
15. Kasih sayang dalam keluarga.

Maniam sayang akan isterinya Malini, dan amat berat untuk meninggalkannya. Begitu juga dengan Seman yang sayang akan ayahnya dan dia sanggup menjaga bapanya yang sedang sakit tenat sepanjang malam. Cing Huat juga sayang akan anak dan isterinya dengan menyuruh isterinya Tua Pao dan anaknya Poh Kheng berlindung di rumah bapa mentuanya ketika kedatangan tentera Jepun

Rahsia Orang Malas Jana Duit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...