Interlok (SPM)


 Sinopsis Buku Satu Interlok
Keluarga Seman

1
Pada suatu petang ketika Seman membelah kayu, dia dan emaknya mendengar bunyi batuk ayahnya yang sakit itu. Seman pula berbual-bual dengan emaknya dan antara yang dibualkannya itu adalah tentang jodoh Seman. Bunyi batuk ayahnya itu semakin kuat dan Mak Limah memberikan ubat kepada Pak Musa. Batuk ayahnya semakin menjadi-jadi dan badannya juga semakin kurus. Sementara emaknya memasak nasi, Seman menjaga dan berbual-bual dengan ayahnya. Ayahnya mengingatkan Seman bahawa jika dia meninggal dunia nanti, Seman hendaklah membawa emaknya keluar dari rumah itu. Bapanya menerangkan bahawa tanah, binatang ternakan dan rumah yang duduki oleh mereka itu bukan miliknya tetapi milik orang lain. Bapanya bimbang tentang nasib mereka nanti yang mungkin tidak mempunyai rumah selepas kematiannya. Perkara yang diberitahu oleh bapanya itu menyebabkan Seman tertanya-tanya dalam hatinya tentang tuan punya harta yang dimiliki oleh ayahnya itu.

Oleh sebab batuk bapanya semakin menjadi-jadi, pada malam itu juga, ibunya menyuruh Seman pergi memanggil dukun untuk mengubati bapanya. Semasa bapanya sakit, Cina Panjang datang ke rumah mereka banyak kali dan Seman juga banyak kali pergi ke kedai Panjang untuk meminjam wang dan mengambil barang keperluan dapur. Pak Utih datang ke rumah Seman untuk mengubati ayahnya dengan menggunakan cara tradisional seperti air jampi, kemenyan, daun sireh , tangkal daripada tengkorak manusia dan sebagainya. Selepas makan malam, Seman mendapati batuk bapanya semakin teruk hingga mengeluarkan darah. Seterusnya, Seman dan emaknya memandikan ayahnya pada waktu tengah malam seperti yang dipesan oleh Pak Utih. Selepas itu, mereka berduapun tertidur kerana mengantuk. Apabila terjaga semula, Seman mendapati ayahnya sudah tidak bernyawa lagi dan Mak Limah menangis kerana terlalu sedih.

Mak Limah masih ingat akan Pak Musa yang menyembunyikan Seman di dalam kelambu ketika guru besar datang untuk mengajak Seman ke sekolah. Pak Musa tidak mahu Seman pergi ke sekolah tetapi dia bersetuju untuk membenarkan Seman belajar mengaji Quran dan agama dengan Lebai Seman. Ramailah orang kampung yang datang untuk menziarahi mayat ayah Seman. Seman pula disuruh oleh emaknya ke kedai Cina Panjang untuk mengambil barang-barang keperluan dapur dan satu bungkusan kertas kecil yang berisi wang kepadanya. Mayat Pak Musa diusung ke tanah perkuburan pada pukul satu tengah hari.

2
Setelah dua puluh tujuh hari bapanya meninggal dunia, Seman dipanggil oleh Cina Panjang. Cina Panjang mengatakan bahawa Pak Musa banyak berhutang kepadanya dan sudah menggadaikan semua tanah kepadanya. Cina Panjang menunjukkan surat-surat tanah itu kepada Seman tetapi Seman tidak tahu untuk membacanya kerana dia buta huruf. Oleh itu, Seman meminta kebenaran agar dia diberikan kebenaran untuk membawa surat-surat itu pulang ke rumahnya tetapi Cina Panjang. menolak permintaan itu. Seman seolah-olah tidak percaya bahawa bapanya berhutang hampir sepuluh ribu rnggit seperti yang didakwa oleh Cina Panjang.

Seman menyelongkar barang-barang di rumahnya untuk mencari wang yang dipercayainya telah disembunyikan oleh bapanya. Selepas itu, dia mencangkul tanah di bawah rumahnya pula. Perkara itu telah menyebabkan emaknya berasa hairan. Seman meneruskan usahanya lagi untuk mencari wang ayahnya itu di dalam reban ayam pula. Walau bagaimanapun, semua usahanya itu tidak mendatangkan hasil.

3
Mak Limah mengatakan bahawa semua tanah bapanya itu memang milik mereka tetapi sepanjang pengetahuannya, Pak Musa tidak meninggalkan wang. Akan tetapi, Seman mengatakan bahawa bapanya meninggalkan wang yang banyak Oleh sebab itu, dia bertindak demikian untuk mencari wang yang ditinggalkan oleh ayahnya. Mak Limah menasihati Seman agar merujuk perkara itu kepada Penghulu Talib dengan bantuan Lebai Man untuk mendapatkan kepastian. Pada pagi itu, Seman pergi ke rumah Lebai Man dan menceritakan masalahnya itu. Lebai Man terkejut kerana sepanjang pengetahuannya Pak Musa memang memiliki tanah itu dan dia tidak tahu pula Pak Musa sudah menggadaikan tanah-tanahnya itu.

Seman dan Lebai Man pergi ke rumah Penghulu Talib untuk mendapatkan pandangannya tentang masalah yang sedang dihadapinya itu. Penghulu Talib mengatakan bahawa dia memang pernah mendengar cerita yang sama sebelum itu, iaitu mengikut undang-undang kerajaan, tanah orang Melayu tidak boleh dijual kepada orang asing. Dia juga mengatakan bahawa memang Pak Musa membeli tanah itu tetapi tidak tahu sumber dia mendapat wang untuk membeli tanah tersebut. Mereka cuma mengetahui bahawa Pak Musa memang berhutang kepada Cina Panjang. Seterusnya, Penghulu Talib menerangkan bahawa sebenarnya Pak Musa membeli tanah dengan menggunakan wang yang diberikan oleh Cina Panjang kepadanya. Menurut Penghulu Talib, urusan jual beli tanah itu memang sah di sisi undang-undang tetapi selepas itu Cina Panjang akan membuat perjanjian lain dengan Pak Musa daripada menguasai tanah itu sebagai hak miliknya yang mutlak. Penghulu Talib berharap agar tidak ada orang lain yang mengikut jejak Pak Musa untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa eksploitasi Cina Panjang yang terlalu mementingkan dirinya.

4
Ketika Seman mengasah parang panjangnya di tepi telaga di depan rumahnya, Cina Panjang, Pak Cin, dan anaknya Kadir datang hendak berjumpa dengannya. Cina Panjang meminta Seman dan emaknya meninggalkan rumahnya itu kerana ada orang lain yang .hendak tinggal di situ. Walau bagaimanapun, dengan tegasnya Seman mengatakan bahawa mereka tidak mahu meninggalkan rumah itu. Cina Panjang pula mengatakan bahawa jika mereka tidak mahu keluar dari rumah itu, Seman perlu membayar sewanya. Seman masih berdegil dengan mengatakan bahawa dia tidak mahu membayar sewa yang diminta oleh Cina Panjang. Mak Limah pula mengajak Seman meninggalkan rumahnya itu tetapi Seman mengatakan bahawa mereka tiada tempat lain untuk dijadikan tempat berlindung.

Lazim dan Mamat Labu datang ke rumah Seman dan mereka terkejut apabila diberitahu bahawa mereka diusir dari rumahnya itu. Kemudian, Penghulu Talib datang bersama-sama dengan Cina Panjang, Pak Cin, dan anaknya Kadir sambil bertanya tentang peristwa yang baru berlaku tadi. Seman memberitahu Penghulu Talib bahawa dia sedang mengasah parang panjangnya untuk memotong daun mengkuang ketika Cina Panjang dan Pak Cin tiba. Cina Panjang pula mengatakan bahawa daun mengkuang itupun tidak boleh dipotong oleh Seman lagi kerana sudah dijualnya kepada orang lain. Penghulu Talib menasihati Seman agar keluar dari rumahnya itu dengan cara baik tetapi meminta Cina Panjang memberikan tempoh selama seminggu sebelum mereka keluar dari situ. Penghulu Talib juga mengingatkan mereka agar tidak mengganggu Seman selama tempoh tersebut. Cina Panjang pula mengingatkan Seman supaya jangan merosakkan rumahnya itu. Lebai Man memujuk Seman dan Mak Limah supaya bersabar dan mengajak mereka berdua tinggal di rumahnya sahaja.

5
Masalah yang dihadapi oleh Seman dan ibunya itu menyebabkan Lazim sukar untuk melelapkan mata kerana fikirannya terganggu. Sejak menjadi guru, dia dapat melihat bangsanya terus miskin dan bodoh kalau tidak mahu berubah sikap. Dia juga miskin tetapi sejak menjadi guru, orang kampung menghormati keluarganya, buktinya panggilan terhadap ayahnya sudah berubah iaitu bapa Cikgu Lazim. Dia memikirkan cara untuk menolong orang-orang kampungnya dengan menubuhkan perkumpulan dan mengajak Seman menyertainya. Seman mengatakan bahawa dia tidak memahami siasah yang diperjuangkan oleh Lazim, tambahan pula dia tidak tahu membaca dan menulis. Walau bagaimanapun, Seman memberikan sokongan moral kepada Lazim. Lazim berasa memang susah untuk menyatupadukan pemuda-pemuda di kampungnya kerana mereka tidak memahami siasah yang diperjuangkannya itu. Lazim memikirkan cara untuk membantu Seman iaitu dengan menawarkan tanah bapanya untuk dijadikan tapak rumah. Akan tetapi, Seman menolaknya walaupun Lazim dan rakan-rakannya sanggup mendermakan wang untuk membina rumah baharu Seman

Buku Empat


1
Ketika Maniam teringat akan anaknya dan Malini yang sudah ditinggalkannya selama dua puluh satu tahun itu, Seman datang berjumpa dengannya untuk mendapatkan pekerjaan di kebun getah itu. Maniam mengatakan bahawa bapa Seman ialah kawan baiknya suatu masa dahulu. Dia berjanji untuk membantu Seman yang terpaksa membina kehidupan baharu bersama-sama dengan emaknya kerana dia disuruh keluar dari rumahnya oleh Cina Panjang kerana semua harta termasuk tanah dan rumahnya sudah menjadi milik Cina Panjang itu. Sejak kematian bapanya, Seman kuat beribadat dan memohon doa kepada Tuhan supaya diberikan perlindungan dan pertolongan. Pada malam itu, dia singgah di surau untuk menunaikan solat Isyak sebelum pulang ke rumahnya. Seman mengajak emaknya meninggalkan rumah itu esok paginya dan mengatakan bahawa dia sudah mendapat kerja di kebun getah. Seperti yang dijanjikan, Maniam menunggu Seman dan emaknya lalu menunjukkan rumah kuli yang akan menjadi tempat tinggal mereka nanti.

2
Selepas Cing Huat memarahi, menampar dan menghalaunya pada suatu malam, Yew Seng sudah nekad untuk meninggalkan rumah pada pagi esoknya. Dia akan pergi ke sebuah lombong yang berhampiran dengan Cangkat Janggus dan bekerja sebagai kuli di lombong bijih itu. Yew Seng sering kali bertentangan pendapat dengan bapanya dan dia juga suka berkawan dan bermain dengan budak-budak Melayu terutamanya Lazim. Perkara yang dilakukannya itu memang tidak disukai oleh bapanya. Di samping itu, Yew Seng selalu bersimpati dengan Lazim atas kemunduran orang Melayu. Dia mengatakan bahawa orang Melayu sama sahaja dengan orang Cina dan mereka bukannya orang hutan seperti yang selalu didakwa oleh bapanya itu. Di lombong bijih itu, dia mengenali Kong Beng yang menjadi kepala kuli di situ.

3
Setelah dua tahun setengah meninggalkan kampungnya, Seman pulang dan bersembahyang Jumaat di masjid Kampung Nyiur Condong pada suatu hari. Di situ, dia bertemu dengan Lazim dan hasratnya untuk meminang Upik pula terpaksa dilupakan apabila Lazim memberitahu bahawa Upik sudah berkahwin dengannya. Walau bagaimanapun, Setelah dicadangkan oleh Lazim, Seman meminta bantuan Lebai Man untuk mewakilinya bagi merisik Gayah, anak Mat ranggi untuk dijadikan isterinya. Walaupun pada mulanya Mat Ranggi tidak bersetuju dengan hasrat Seman itu, tetapi akhirnya dia menyedari kesilapannya selama ini, iaitu dia terlalu mementingkan harta.

4
Seman akhirnya berkahwin dengan Gayah iaitu anak Mat Ranggi yang sudah dapat menerimanya sebagai menantu walaupun dia tidak berharta. Dia memberitahu Maniam bahawa dia mahu berhenti kerja kerana hendak pulang ke Kampung Nyiur Condong dan berkahwin dengan Gayah. Selepas berkahwin, Seman tinggal bersama-sama dengan bapa mentuanya, dan ibunya pula tinggal di pondok yang berhampiran dengan rumah Lebai Man untuk memudahkannya belajar agama bersama-sama dengan pelajar yang lain.

5
Apabila tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu, keadaan menjadi tidak tenteram dan tentera orang putih mula mengundurkan diri. Orang-orang Cina pula gelisah dan takut akan tentera Jepun. Keadaan menjadi tidak tenteram kerana banyak berlaku rompakan. Sebagai contohnya, ada orang Melayu yang sanggup merompak kedai-kedai orang Cina untuk membalas dendam. Dalam satu rompakan di kedai Cing Huat pada suatu malam, Poh Eng hilang, tetapi dia telah diselamatkan oleh Seman. Seman membawa Poh Eng dan emaknya berlindung di rumah pekerja di kebun Cangkat Janggus. Pada suatu hari, tentera Jepun datang ke kedai Cing Huat dan bertanyakan Yew Seng yang menyertai kumpulan pengganas komunis yang diketuai oleh Kong Beng. Secara senyap-senyap, Yew Seng pula balik ke rumahnya pada suatu malam dan meminta makanan. Dia berjanji kepada bapanya untuk mencari Poh Eng yang hilang.

6
Selepas pengurus orang putih meninggalkan ladang mereka, orang Jepun pula yang mengambil alih pengurusan ladang. Walau bagaimanapun, orang-orang yang tidak dikenali telah menculik pengurus kebun Cangkat Janggus pada suatu malam. Poh Eng pula telah dibawa lari oleh abangnya, Yew Seng pada malam itu juga. Mak Limah telah ditangkap oleh Jepun berikutan dengan kehilangan pengurus Jepun di kebun Cangkat Janggus itu.

7
Maniam dan beberapa orang kuli dari kebun Cangkat Janggus pula telah ditangkap oleh Jepun disebabkan oleh kehilangan pengurus Jepun itu. Semasa dalam tahanan, Maniam telah diseksa oleh tentera Jepun. Walau bagaimanapun, dia telah bertemu dengan anaknya sendiri iaitu Inspektor Ramakrisynan yang bertugas di situ dan membebaskannya. Maniam meminta bantuan daripada anaknya itu, iaitu Inspektor Ramakrisynan supaya membebaskan Mak Limah. Cing Huat pula sangat marah apabila mengetahui Seman dan Mak Limah yang menyembunyikan Poh Eng.

8
Keadaan menjadi semakin gawat dan sukar kerana barang-barang keperluan sangat kurang dan harganya melambung tinggi. Orang kampung juga semakin susah akibat hasil pertanian mereka terpaksa dijual dengan harga yang murah kepada Jepun dan sekiranya mereka enggan, hasil pertanian itu akan dirampas dan tuan punyanya pula akan ditangkap dan dihukum. Kebun-kebun pula sering diserang oleh gerombolan komunis pada waktu malam dan pengurus-pengurusnya yang terdiri daripada orang Jepun itu ditangkap ataupun dibunuh. Lazim turut ditangkap oleh Jepun kerana menghasut orang kampung supaya jangan menjual padi mereka kepada Jepun.

9
Setelah Jepun tewas, orang Inggeris kembali ke Malaya dan pada masa itu berlaku penentangan terhadap pengganas komunis. Sementara itu, pengganas komunis pula semakin mengganas dan bertindak dengan kejam terhadap orang putih dan juga rakyat Malaya. Gerombolan pengganas komunis telah mengambil alih balai polis dan Inspektor Rama ditangkap kerana bekerjasama dengan Jepun. Namun begitu, Yew Seng berjumpa dengan Lazim yang secara kebetulannya ditahan di balai polis itu, dan dia terus membebaskan kawannya itu.

10
Orang Melayu yang diwakili oleh Lazim, Mail Jambul, dan Berahim mengajak orang-orang Melayu agar bersatu padu dan menentang gagasan Malayan Union yang hendak diperkenalkan oleh Inggeris. Kemudian darurat diisytiharkan di seluruh negeri kerana Parti Komunis Malaya melakukan pemberontakan untuk mewujudkan sebuah kerajaan komunis di wilayah-wilayah yang telah dirampas daripada tangan Inggeris. Mereka mengatakan bahawa perkara itu dilakukan untuk membebaskan seluruh Malaya daripada penjajahan Inggeris dan untuk mencapai matlamat itu, mereka terpaksa melumpuhkan ekonomi negeri ini terlebih dahulu. Oleh sebab itu, mereka terpaksa merosakkan kebun-kebun getah dan kelapa serta menghancurkan lombong-lombong bijih.

Sementara itu, Yew Seng dan Kong Beng kembali semula ke hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka menyerang kebun-kebun di kawasan itu pada setiap malam dan membunuh orang putih yang menjadi pengurusnya. Selain itu, mereka terus menyerang dan merosakkan pokok-pokok getah serta menghancurkan lombong bijih. Cing Huat pula telah dilantik sebagai pengerusi persatuan orang Cina di pekan kecil di kawasan tempatnya tinggal itu. Mereka berjuang untuk membersihkan nama orang Cina akibat dakyah pengganas komunis yang sesat itu dan memperjuangkan kebajikan orang-orang Cina. Orang-orang India juga mempunyai pertubuhan yang sama dan memperjuangkan kebajikan kaum mereka. Pertubuhan mereka itu dipimpin oleh Raman iaitu seorang guru yang pernah bertugas di kebun Cangkat Lima.

Suppiah dan dua anggota baharu gerombolan itu menangkap Maniam dan dibawa ke dalam hutan di tempat persembunyian gerombolan tersebut pada suatu malam. Ketika Suppiah hendak menembak Maniam, Poh Eng menyelamatkan Maniam dengan menembak Suppiah. Pada masa itu juga, Inspektor Rama dan pasukan keselamatannya melakukan serangan hendap terhadap gerombolan pengganas komunis itu. Dalam serangan tersebut pasukan keselamatan telah berjaya menewaskan gerombolan pengganas komunis. Yew Seng pula cedera parah di bahagian atas lututnya dan anggota pengganas yang masih hidup telah ditangkap.

Yew Seng dan Poh Eng sedar dan insaf akan perjuangan mereka yang sia-sia selama ini kerana tidak menyangka Kong Beng ialah anggota pengganas komunis yang anti-Inggeris, anti-Jepun, dan antipenjajah. Orang-orang di pekan Simpang Empat pula berasa gembira dan mereka hendak menyaksikan perayaan kemerdekaan yang akan berlangsung selama tiga hari dan tiga malam. Mereka semuanya berasa gembira apabila Malaya akan mendapat kemerdekaan daripada Inggeris. Seman dan isterinya Gayah, Yew Seng, Lazim, Mamat Labu, Pak Haji Man, Ah Hock, dan Raman akan merayakan kemerdekaan negara di Kuala Lumpur. Inspektor Ramakrisynan pula menjemput mereka datang ke rumahnya kerana bapanya hendak berjumpa dengan mereka
Tema
Integrasi antara tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India melalui tiga keluarga yang berusaha untuk hidup bersama di Tanah Melayu yang aman, merdeka dan bersatu padu.

Sebagai buktinya, Seman, Maniam, Cing Huat dan Yew Hock hidup saling membantu dalam urusan kehidupan seharian dan seterusnya bekerjasama untuk mewujudkan masyarakat Malaya yang bersatu padu, aman dan harmoni. Kepelbagaian kaum tersebut merupakan keistimewaan yang wujud secara semula jadi berdasarkan fakta sejarah apabila orang Cina yang diwakili oleh Cing Huat, dan orang India yang diwakili oleh Maniam datang ke Tanah Melayu pada masa itu untuk mencari rezeki dan seterusnya tinggal dan menetap di negara ini.

Dalam kehidupan mereka, setiap kaum itu hidup saling bergantungan antara satu sama lain. Orang Melayu meminjam wang daripada orang Cina dan orang Cina pula menggunakan orang Melayu untuk membeli tanah orang Melayu. Sebagai contohnya, Cina Panjang (Cing Huat) memberikan wang iaitu dengan meminjamkannya kepada Musa dan sebaliknya Cing Huat menggunakan Musa untuk membeli tanah orang Melayu. Musa pula telah menyelamatkan Maniam daripada dipukul dengan teruk dan Maniam membalas jasa Musa dengan memberikan bantuan kepada anaknya iaitu Seman untuk mendapatkan kerja di ladang di tempat Maniam bekerja sebagai tandil.

Kehidupan pelbagai kaum dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina, dan India itu berlangsung dengan aman, saling bergantungan dan tiada persengketaan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum. Mereka berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan harmoni serta menjadikan negara ini negara yang merdeka dan berdaulat.

Persoalan dan Nilai-Nilai Murni
Persoalan
1. Tolong-menolong dalam kehidupan bermasyarakat.
Seman menolong Poh Eng dengan membawanya ke ladang di tempat Maniam berkerja untuk menyelamatkan diri.

2. Kerajinan dalam mencari rezeki.
Seman rajin bekerja di sawah bapa mentuanya iaitu selepas menuai padi, dia menanam sayur-sayuran dan kacang dan sebagainya di atas tanah itu.

3. Ketabahan dalam menghadapi kehidupan yang mencabar.
Seman tabah menghadapi hidupnya dan berusaha untuk mencari pekerjaan bagi memulakan hidup baru bersama-sama dengan emaknya selepas disuruh meninggalkan rumahnya oleh Cina Panjang.

4. Kegigihan untuk memajukan diri.
Seman gigih bekerja di ladang getah dan berjaya mengumpulkan wang untuk dijadikan belanja majlis perkahwinannya dengan Gayah.

5. Ketaatan kepada perintah agama.
Seman menunaikan sembahyang Jumaat di masjid Kampung Nyiur Condong selepas dua tahun setengah meninggalkan kampungnya itu..

6. Semangat cinta akan negara yang aman dan tenteram.
Lazim, Cing Huat dan Raman sama-sama berjuang untuk kaum masing-masing dan mereka berpendapat agar setiap kaum itu bersatu untuk mewujudkan satu masyarakat Malaya yang aman dan damai.

7. Menghormati orang yang lebih tua dalam masyarakat.
Mat Ranggi menghormati Lebai Seman yang menjadi wakil kepada Seman walaupun dia tidak bersetuju dengan hasrat Seman untuk mengambil anaknya sebagai isteri.

8. Semangat bermasyarakat dalam kehidupan seharian.
Semua penduduk kampung menziarahi mayat Musa yang meninggal dunia dan masing-masing melakukan kerja untuk mengurusakan mayatnya itu.

9. Menghargai jasa atau budi orang lain.
Poh Eng memberitahu bapanya bahawa Seman dan Mak Limah yang menyelamatkannya daripada malapetaka walaupun ayahnya mengatakan mereka yang menyebabkan Poh terpisah dengannya.

10. Keberanian dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
Poh Eng berani menembak Suppiah demi menyelamatkan nyawa Maniam yang pernah membantunya.

11. Semangat perpaduan tanpa mengira kaum.
Yew Seng dan Lazim bermain bersama-sama dan mereka berkawan baik walaupun ayahnya Cing Huat melarangnya daripada berbuat begitu.

12. Kekejaman tentera Jepun dan komunis.
Tentera Jepun merampas basikal, jam tangan dan bahan makanan penduduk kampung. Anggota komunis pula membunuh sesiapa sahaja yang bekerjasama dengan pihak Jepun.

13. Kesabaran dalam menghadapi cabaran.
Malini sabar menanti kepulangan Maniam yang bekerja di tempat lain hinggalah dia meninggal dunia.

14. Perjuangan yang sia-sia perlu ditinggalkan.
Yew Seng dan Poh Eng menyedari bahawa perjuangan mereka bersama-sama dengan pengganas komunis ialah perjuangan sia-sia dan perjuangan yang dilakukan oleh ayahnya dan Lazim itulah perjuangan yang sebenar.

15. Kasih sayang dalam keluarga.
Maniam sayang akan isterinya Malini, dan amat berat untuk meninggalkannya. Begitu juga dengan Seman yang sayang akan ayahnya dan dia sanggup menjaga bapanya yang sedang sakit tenat sepanjang malam. Cing Huat juga sayang akan anak dan isterinya dengan menyuruh isterinya Tua Pao dan anaknya Poh Kheng berlindung di rumah bapa mentuanya ketika kedatangan tentera Jepun
Nilai Murni Dalam Novel Interlok 

Banyak nilai murni lain juga yang terdapat dalam novel Interlok yang dapat dijadikan contoh oleh pelajar-pelajar dalam kehidupan seharian, antaranya seperti yang disenaraikan di bawah ini.


1. Tolong-menolong
Musa menolong Maniam yang dipukul oleh orang yang tidak dikenali ketika dia hendak meninggalkan ladang tempatnya bekerja pada suatu pagi dan Maniam pula menolong Seman mendapatkan kerja di ladang tempatnya bekerja.

2. Menghargai jasa
Maniam menghargai jasa Musa yang menolongnya ketika dia dipukul oleh orang yang tidak dikenali dan Poh Eng menghargai jasa Seman dan Mak Limah yang memberikan perlindungan kepadanya.

3. Hormat-menghormati
Seman menghormati ayah dan ibunya dan dia tidak pernah meninggikan suara apabila bercakap dengan mereka dan dia juga mematuhi arahan dan melakukan setiap perkara yang disuruh oleh ibunya.

4. Kerajinan
Seman rajin bekerja sejak ayahnya sakit dan dialah yang membelah kayu api. Seman juga rajin mengusahakan tanah sawah bapa mentuanya dengan menanam sayur-sayuran, kacang dan pelbagai tanaman lain.

5. Ketabahan
Maniam tabah menghadapi dugaan hidupnya susah dengan berhijrah ke Malaya untuk mencari pekerjaan dan seterusnya dia bekerja di beberapa tempat seperti kuli di pelabuhan di Pulau Pinang hinggalah dia bekerja tetap dan dilantik sebagai tandil di kebun getah.

6. Kegigihan
Cing Huat gigih bekerja untuk membesarkan kedai dan perniagaanya dan dia menjual pelbagai barangan dan akhirnya dia berjaya menjadi tauke atau peniaga yang berjaya.

7. Semangat cinta akan negara
Lazim, Mail Jambul, dan Berahim menyeru orang-orang Melayu bersatu padu dan berjuang untuk mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan raja-raja.

8. Semangat perpaduan
Masyarakat Melayu, Cina dan India hidup dengan aman dan harmoni di Simpang Empat, Cangkat Lima, Cangkat Janggus, dan kawasan kampung yang lain tanpa persengketaan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

9. Keberanian
Musa berani untuk menyelamatkan Maniam yang dipukul oleh orang yang tidak dikenali dan Seman berani menjemput dukun untuk mengubati ayahnya yang sakit pada suatu malam, seorang diri.

10. Mengenang Budi
Poh Eng mengenang budi Seman dan Mak Limah yang pernah memberikan perlindungan kepadanya dan Maniam juga mengenang budi Musa yang membantunya ketika dia dipukul. Maniam membalas budi Musa dengan menolong Seman untuk mendapatkannya kerja di kebun tempatnya bekerja itu.

11. Taat akan perintah agama
Apabila Seman sampai di surau, dia terus mengambil wuduk dan berdiri di saf kedua untuk menunaikan sembahyang Isyak di surau Kampung Nyiur Condong pada suatu malam.

12. Kasih sayang
Isteri Cing Huat amat sayang kepada anaknya terutamanya Poh Kheng dan Poh Eng. Dia menjerit dan meratap apabila menyedari Poh Eng hilang ketika peristiwa rompakan berlaku di kedainya pada suatu malam.

13. Menepati janji
Seman menepati janjinya dengan Mamat Labu iaitu dia sampai di surau selepas sembahyang Isyak seperti yang dijanjikan tetapi Mamat Labu yang tidak muncul. Maniam juga menepati janjinya dengan mendapatkan kerja untuk Seman di kebun getah itu.

14. Kesabaran
Malini bersabar dengan menunggu kepulangan suaminya Maniam selepas suaminya itu disuruh pergi ke tempat lain oleh ayahnya. Seman juga bersabar dengan dugaan yang menimpa dirinya iaitu semasa bapanya meninggal dunia.

15. Mengakui kesilapan
Mat Ranggi mengakui kesilapannya yang menolak semua pinangan kerana orang yang hendak meminang anaknya itu tidak setaraf dengannya, tetapi akhirnya dia menyedari kesilapannya itu dengan menerima Seman yang miskin dan tidak berharta sebagai menantunya.

16. Ketekunan
Selepas menolong ibunya di dapur, Poh Eng mengambil sulamannya dan mula menyulam kain dengan tekun di meja makan.

17. Semangat setiakawan 
Persahabatan Yew Seng dengan Lazim begitu erat dan dia lebih dekat dengan orang-orang Melayu, hinggakan kalau Lazim dipukul orang, dia akan berasa dirinya sendiri yang kena pukul dan dia mahu berkorban untuk membela Lazim kalau perlu.

18. Ketaatan
Malini taat kepada suaminya Maniam iaitu dia melayannya dengan baik, mendengar katanya dan tidak membenarkan suaminya itu memasak nasi kerana kerja itu sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang isteri

Rahsia Orang Malas Jana Duit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...