Thursday, February 24, 2011

Sajak: Kecek - (V)-Antologi Tingkatan 5

Pengenalan

Sajak empat rangkap bernombor siri karya Awang Abdullah yang bertajuk "Kecek - (V) dipilih untuk pembelajaran komsas tingkatan 5 menerusi antologi "Dirgahayu Bahasaku", muka surat 22 - 23. Sumber ambilan asalnya ialah Dewan Sastera, 1989. Maknanya, sajak "Kecek - (V)" telah berusia lebih dua dekad, tetapi kekal relevan sepanjang zaman.

Bahagian pengenalan antologi (muka surat 18) memberikan gambaran yang agak terperinci tentang maksud sajak yang disampaikan. Antara lain dicatatkan:

1 Penyajak secara sinis menegur sikap orang kaya yang tidak jujur dalam mengumpul harta untuk diri dan keluarga;

2 Orang kaya sanggup melihat orang lain hidup susah asalkan mereka hidup senang di dunia ini;

3 Orang miskin seperti petani dan nelayan walaupun hidup susah, tetapi tidak pernah menyusahkan orang lain untuk mendapatkan sesuap nasi buat diri dan keluarga;

4 Apa-apa sahaja yang kita lakukan di dunia tidak terlepas daripada pengetahuan Allah;

5 Perbuatan yang baik pasti mendapat balasan yang baik, sementara perbuatan yang jahat pasti akan mendapat balasan yang setimpal.

Analisis Rangkap demi Rangkap

1

seorang pengarah

membuka akaun semasanya

di sebuah bank ternama

tetapi dalam diam

dia mencantum kemiskinan

orang lain

ke dalam amanahnya

yang telah lama pecah.

Seorang pegawai tinggi bertaraf pengarah membuka akaun semasa (boleh mengarahkan bank membuat bayaran dengan menandatangani cek) di sebuah bank terkenal. Proses membuka akaun semasa memerlukan tapisan yang ketat dari segi pendapatan dan kedudukan seseorang. Pengarah yang disebut oleh penyajak telah menggunakan kedudukannya dengan melakukan pecah amanah, iaitu menyeleweng dengan cara menafikan hak-hak orang-orang miskin untuk menambah kekayaan diri sendiri secara senyap.

2

di kampung

seorang petani

membuka akaun kemiskinannya

di ruang kedaifan

dan mengunci sedozen anak-anaknya

di dalam pagar sengsara

tetapi dia tidak pernah mencantum

kekayaan orang lain

ke dalam getirnya

yang sudah lama

berumbi.

Sebaliknya, seorang petani kampung hanya mampu kekal dalam kemiskinan dengan rumah yang serba daif dengan bilangan anak yang ramai dalam kesengsaraan hidup susah. Petani tidak pernah mengambil milik kekayaan orang lain. Dia pasrah dengan getir hidup (kesusahan) yang sudah sebati, serta telah diwarisi generasi demi generasi.

3

di pantai

seorang nelayan

membuka akaun sengsaranya

di rahang lalut ternganga

dan mengurung sederet anak-anaknya

di bawah pusaran nasib

tapi dia tidak pernah mengumpul

kesenangan orang lain

ke dalam kegusarannya

yang telah sekian musim

berlumut

di papan hidupnya.

Seorang nelayan pantai juga hanya bertahan dengan kesusahan hidup mencari rezeki di laut lepas yang penuh risiko. Walaupun terpaksa berkongsi nasib hidup yang tidak menentu dengan sejumlah anak yang ramai, sang nelayan juga tidak pernah mengambil kesempatan atas kesenangan orang lain bagi menoktahkan kesusahan hidup yang dilalui. Nelayan sudah biasa, lali, dan mangli dengan kemiskinan yang telah mencengkam hidup mereka anak-beranak sekian lama.

4

Tuhan tidak pernah mungkir

mencatatkan setiap angka

dan nilai hitungan paling kecil

ke dalam akaun-Nya

di rumah keadilan.

Setiap sen harta dan kekayaan yang dimiliki tidak akan terlepas daripada catatan Tuhan. Semuanya akan dihitung dan disoal pada hari kiamat kelak. Janji Tuhan ialah keadilan terhadap mereka yang memperoleh harta secara bersih, berbanding dengan golongan yang menimbun-nimbun harta secara tidak sah.

No comments:

Post a Comment

Rahsia Orang Malas Jana Duit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...