Thursday, March 10, 2011

Interlok: Nilai-Nilai Murni


Banyak nilai murni yang terdapat dalam novel Interlok yang dapat dijadikan contoh oleh pelajar-pelajar dalam kehidupan seharian, antaranya seperti yang disenaraikan di bawah ini.

1. Tolong-menolong

Musa menolong Maniam yang dipukul oleh orang yang tidak dikenali ketika dia hendak meninggalkan ladang tempatnya bekerja pada suatu pagi dan Maniam pula menolong Seman mendapatkan kerja di ladang tempatnya bekerja.
2. Menghargai jasa

Maniam menghargai jasa Musa yang menolongnya ketika dia dipukul oleh orang yang tidak dikenali dan Poh Eng menghargai jasa Seman dan Mak Limah yang memberikan perlindungan kepadanya.
3. Hormat-Menghormati

Seman menghormati ayah dan ibunya dan dia tidak pernah meninggikan suara apabila bercakap dengan mereka dan dia juga mematuhi arahan dan melakukan setiap perkara yang disuruh oleh ibunya.
4. Kerajinan

Seman rajin bekerja sejak ayahnya sakit dan dialah yang membelah kayu api. Seman juga rajin mengusahakan tanah sawah bapa mentuanya dengan menanam sayur-sayuran, kacang dan pelbagai tanaman lain.
5. Ketabahan

Maniam tabah menghadapi dugaan hidupnya susah dengan berhijrah ke Malaya untuk mencari pekerjaan dan seterusnya dia bekerja di beberapa tempat seperti kuli di pelabuhan di Pulau Pinang hinggalah dia bekerja tetap dan dilantik sebagai tandil di kebun getah.
6. Kegigihan

Cing Huat gigih bekerja untuk membesarkan kedai dan perniagaanya dan dia menjual pelbagai barangan dan akhirnya dia berjaya menjadi tauke atau peniaga yang berjaya.
7. Semangat cinta akan negara

Lazim, Mail Jambul, dan Berahim menyeru orang-orang Melayu bersatu padu dan berjuang untuk mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan raja-raja.
8. Semangat perpaduan

Masyarakat Melayu, Cina dan India hidup dengan aman dan harmoni di Simpang Empat, Cangkat Lima, Cangkat Janggus, dan kawasan kampung yang lain tanpa persengketaan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
9. Keberanian

Musa berani untuk menyelamatkan Maniam yang dipukul oleh orang yang tidak dikenali dan Seman berani menjemput dukun untuk mengubati ayahnya yang sakit pada suatu malam, seorang diri.
10. Mengenang Budi

Poh Eng mengenang budi Seman dan Mak Limah yang pernah memberikan perlindungan kepadanya dan Maniam juga mengenang budi Musa yang membantunya ketika dia dipukul. Maniam membalas budi Musa dengan menolong Seman untuk mendapatkannya kerja di kebun tempatnya bekerja itu.
11. Taat akan perintah agama

Apabila Seman sampai di surau, dia terus mengambil wuduk dan berdiri di saf kedua untuk menunaikan sembahyang Isyak di surau Kampung Nyiur Condong pada suatu malam.
12. Kasih sayang

Isteri Cing Huat amat sayang kepada anaknya terutamanya Poh Kheng dan Poh Eng. Dia menjerit dan meratap apabila menyedari Poh Eng hilang ketika peristiwa rompakan berlaku di kedainya pada suatu malam.
13. Menepati janji

Seman menepati janjinya dengan Mamat Labu iaitu dia sampai di surau selepas sembahyang Isyak seperti yang dijanjikan tetapi Mamat Labu yang tidak muncul. Maniam juga menepati janjinya dengan mendapatkan kerja untuk Seman di kebun getah itu.
14. Kesabaran

Malini bersabar dengan menunggu kepulangan suaminya Maniam selepas suaminya itu disuruh pergi ke tempat lain oleh ayahnya. Seman juga bersabar dengan dugaan yang menimpa dirinya iaitu semasa bapanya meninggal dunia.
15. Mengakui kesilapan

Mat Ranggi mengakui kesilapannya yang menolak semua pinangan kerana orang yang hendak meminang anaknya itu tidak setaraf dengannya, tetapi akhirnya dia menyedari kesilapannya itu dengan menerima Seman yang miskin dan tidak berharta sebagai menantunya.
16. Ketekunan

Selepas menolong ibunya di dapur, Poh Eng mengambil sulamannya dan mula menyulam kain dengan tekun di meja makan.
17. Semangat setiakawan

Persahabatan Yew Seng dengan Lazim begitu erat dan dia lebih dekat dengan orang-orang Melayu, hinggakan kalau Lazim dipukul orang, dia akan berasa dirinya sendiri yang kena pukul dan dia mahu berkorban untuk membela Lazim kalau perlu.
18. Ketaatan

Malini taat kepada suaminya Maniam iaitu dia melayannya dengan baik, mendengar katanya dan tidak membenarkan suaminya itu memasak nasi kerana kerja itu sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang isteri

No comments:

Post a Comment

Rahsia Orang Malas Jana Duit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...