Thursday, February 17, 2011

Industri Hiburan Tanah Air

SOALAN KARANGAN:


Keburukan penglibatan pelajar dalam industri hiburan tanah air.

...............Dewasa ini, industri hiburan tanah air semakin berkembang maju. Kemajuan industri ini dapat dilihat melalui monopoli media massa tempatan baik media cetak mahupun media elektronik yang lebih cenderung pada berita-berita bercorak keseronokan berbanding dengan berita bercorak pengetahuan. Namun apa yang amat dikesali, ada juga golongan yang cuba meraih keuntungan mudah dengan mengeksploitasi para remaja khususnya golongan pelajar agar melibatkan diri dalam dunia hiburan biarpun sepatutnya mereka perlu menggalas wadah memajukan diri dalam bidang pendidikan. Lantaran budaya berhibur melebihi keutamaan menuntut ilmu, situasi kini sudah pasti memberi impak yang negatif kepada generasi akan datang. Justeru, apakah kewajaran yang membolehkan golongan pelajar melibatkan diri dalam dunia hiburan dan apakah pula kesannya?

...............Antara kesan negatif yang bakal timbul ialah kesukaran pelajar untuk membahagikan waktu di antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama mereka iaitu menuntut ilmu. Dalam usia yang masih terlalu muda, dunia pelajar seharus ditumpukan sepenuhnya untuk memperoleh ilmu sebagai menggalas aspirasi menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan. Namun jika mereka terlibat dengan dunia hiburan, masa yang ada terpaksa dibahagikan pula dengan tanggungjawab mereka untuk memajukan diri dalam bidang hiburan. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan keupayaan mereka meluangkan waktu pada pelajaran dan kesannya bakal memberi impak yang tidak baik kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya seseorang pelajar terlibat secara langsung dalam bidang nyanyian atau lakonan, mereka memerlukan masa yang panjang bukan sahaja untuk mengikuti penggambaran atau pertunjukan yang diadakan malah masa untuk berlatih juga perlu diambil kira. Justeru, kesannya akan menyebabkan kesukaran kepada mereka untuk memperuntukan waktu yang secukupnya pada pelajaran.

...............Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam Program Realiti Hiburan seperti yang kerap kita lihat di kaca televisyen akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah. Penglibatan mereka juga menyebabkan pelajar terpaksa mengambil cuti untuk melaksanakan kehendak penganjur hiburan mengadakan pertunjukan di mana-mana juga. Akibat terikat dengan kontrak bersama dengan syarikat hiburan, para pelajar terpaksa melupakan tugas utama mereka dalam usia muda iaitu melaksanakan aspek pembelajaran dan mengikuti aktiviti kokurikulum yang telah ditetapkan. Hal seperti ini akan menyebabkan para pelajar yang terbabit ketinggalan dalam pelajaran dan menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan. Bayangkanlah, apa yang bakal berlaku kepada generasi kita pada masa depan jika rakyatnya tidak berilmu lantaran memilih bidang hiburan dan mengetepikan ilmu pengetahuan. Janganlah pula sampai ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’.

...............Realiti hidup sebagai seniman sebenarnya adalah terlalu kompleks dan penuh dengan tipu muslihat. Persoalannya, mampukah golongan remaja seperti pelajar mengharungi kehidupan dan menyahut cabaran dalam dunia artis yang penuh cabaran? Bakat yang dimiliki sahaja mungkin tidak mencukupi jika ilmu di dada tidak seberapa. Menyertai bidang hiburan memerlukan seseorang yang mampu mendepani segala rintangan, apatah lagi dunia hiburan masa kini berdepan dengan pelbagai saingan yang terlalu rumit. Dalam usia setahun jagung, kemungkinan untuk menempa nama dalam dunia hiburan adalah terlalu kecil, lantas mereka berdepan pula dengan kemungkinan menghadapi kegagalan. Mampukah golongan semuda ini berdepan dengan kegagalan? Kita amat bimbang, kegagalan akan menjerumuskan golongan pelajar dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, sek bebas dan sebagainya. Justeru, sebelum menceburi bidang hiburan, remaja khususnya pelajar perlulah bijak menilai dan memilih sebelum membuat keputusan.

...............Selain itu, dunia hiburan dan pendidikan dilihat sebagai dua dunia yang begitu berbeza. Lihat sahaja pertuturan seorang artis, pergaulan bebas sesame peminat, pakaian malah keseluruhan gaya hidup mereka. Hal ini amat berbeza sama sekali dengan objektif pendidikan yang berperanan melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani. Ambil sahaja contoh rambut seorang artis, bergaya, panjang dan berwarna. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak didiplin yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Persoalannya nanti, mahukah golongan golongan pelajar yang telah masuk dalam golongan artis berpakaian kemas, berambut pendek dan menggayakan perlakuan sopan di khalayak ramai? Mampukah mereka merendahkan rasa ego mereka apabila berada di sekolah bersama rakan-rakan mereka yang lain? Kesannya lebih menjurus pada keburukan dan boleh mewujudkan konflik dalam diri pelajar terbabit. Hal inilah yang perlu difikirkan dengan serius sebelum mengambil pendirian untuk menyertai bidang hiburan.

...............Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang menyertai bidang hiburan adalah individu yang mementingkan ‘glamour’ dan bersifat meterialistik. Kenyataan ini mungkin ada kebenarannya jika dilihat dari situasi industry hiburan kita pada hari ini. Kejayaan seseorang pelajar dalam dunia hiburan mungkin bakal melahirkan pelajar yang bersifat bongkak, sombong dan memandang rakan dan guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai. Lihat sahaja perlakuan seorang artis remaja ketika bercakap dengan seorang jururawat di sebuah hospital. Apa pula pandangan anda jika seorang artis remaja mengherdik seorang pengawal di sebuah lapangan terbang di Sepang? Sikap bongkak ini lahir apabila mereka merasakan diri mereka terlalu ‘glamour’ sehingga memandang rendah orang lain yang bukan golongan artis. Natijahnya, sikap negatif sebegini lahir disebabkan kurangnya nilai-nilai moral yang sepatutnya mereka pelajari di sekolah. Malangnya, oleh sebab terlalu banyak waktu digunakan untuk dunia hiburan, nilai-nilai moral sebegini terus dilupakan.

...............Intiharnya, dunia hiburan masa kini bukanlah dunia seorang pelajar. Sebagai pelajar, mereka perlu mempunyai acuan sendiri iaitu menyahut cabaran mendepani bidang ilmu yang terlalu luas dan tidak bertepi. Menuntut ilmu memerlukan komitmen yang menyeluruh dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Andai terbuka hati untuk menyertai industri hiburan, berilah ruang untuk memenuhi ilmu di dada terlebih dahulu kerana hanya ilmu yang mampu membina impian masa depan gemilang.

Wednesday, February 16, 2011

Watak-Watak Dalam Interlok

1. Seman

Seman ialah anak tunggal Pak Musa dan Mak Limah. Kulitnya lebih cerah daripada kulit bapanya. Dia tidak bersekolah dan cuma belajar mengaji Quran dengan Lebai Man. Oleh itu, dia buta huruf dan tidak tahu membaca dan menulis. Dia berkahwin dengan Gayah, anak Mat Ranggi dan dikurniakan dua orang anak. Dia rajin bekerja, buktinya dia rajin mengusahakan tanah sawah bapa mentuanya dengan menanam sayur-sayuran dan kacang selepas menuai padi. Seman tabah menghadapi dugaan dalam kehidupan, contohnya dia tabah mengharungi hidupnya yang berliku bersama-sama dengan ibunya selepas diarahkan keluar oleh Cina Panjang dari rumahnya. Dia seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan ayah dan ibunya. Seman hormat dan taat akan orang tua, buktinya Seman hormat kepada ibu dan ayahnya dan tidak membantah kata-kata mereka. Seman seorang yang berani, contohnya dia berani menjemput Pak Utih yang menjadi dukun ke rumahnya pada waktu malam untuk mengubati ayahnya yang sakit, setelah disuruh oleh emaknya seorang diri. Dia bersabar ketika menghadapi dugaan, contohnya dia bersabar ketika menghadapi kematian ayahnya dan menghadapi kehidupan baharu bersama-sama dengan ibunya selepas kematian ayahnya di kebun Cangkat Janggus. Dia suka menolong orang dan tidak menyimpan perasaan dendam, contohnya Seman menolong Poh Eng dengan memberikan perlindungan kepadanya. Perkara itu berlaku selepas kedai Cing Huat dimasuki perompak walaupun dia marah akan Cing Huat. Seman kuat beribadat terutamanya selepas kematian ayahnya, contohnya dia bangun pada waktu tengah malam untuk bersolat sunat dan berdoa kepada Allah. Di samping itu, dia juga menunaikan solat wajib, contohnya dia bersembahyang Jumaat di masjid Kampung Nyiur Condong. Seman bersemangat patriotik, buktinya dia hendak merayakan kemerdekaan negara yang diadakan di Kuala Lumpur.

Seman berfikir secara rasional dan bertindak dengan matang untuk menyelesaikan masalah, contohnya dia telah berjumpa dengan Cing Huat dan bertanyakan hal geran tanah, dan perjanjian dengan bapanya itu. Dia juga mendapatkan pandangan penghulu tentang masalahnya itu dengan ditemani oleh Lebai Man. Seman mudah bersimpati, contohnya dia bersimpati dengan Poh Eng dan membantunya untuk mendapatkan termpat berlindung.


2. Cing Huat

Cing Huat ialah anak Kim Lock yang datang dari negara China dengan ayahnya. Dia digelar Cina Panjang oleh orang-orang kampung. Badannya gemuk dan perutnya gendut. Cing Huat berhijarah ke Malaya untuk mencari pekerjaan dan mengumpul kekayaan. Cing Huat tabah dan gigih, contohnya dia pernah bekerja sebagai pembantu kedai makan dan kedai runcit di Singapura serta bekerja di lombong bijih bersama-sama dengan bapanya ketika berusia sepuluh tahun. Dia berkahwin dengan Tua Pao dan memperoleh empat orang anak, iaitu Yew Huat, Yew Seeng, Poh Eng dan Poh Kheng. Dia seorang yang pemarah dan panas baran, contohnya dia marah dan menampar Yew Seng kerana melawan kata-katanya. Dia berprasangka buruk terhadap orang Melayu dan menganggap bahawa mereka malas. Oleh sebab itu, dia tidak suka akan anaknya, Yew Seng yang berkawan dengan budak-budak Melayu. Cing Huat rajin bekerja dan akhirnya dia menjadi tauke kedai runcit yang berjaya. Walaupun dia menyuruh anaknya mengurangkan timbangan sedikit dalam urusan jual beli tetapi dia seorang yang pemurah, buktinya dia mendermakan wangnya sebanyak lima ratus ringgit untuk membina sekolah Cina di pekan Simpang Empat. Selain itu, dia memberikan pinjaman wang kepada Pak Musa dan menggunakan nama Pak Musa untuk membeli tanah orang-orang Melayu. Dia juga murah hati untuk menanggung perbelanjaan tambang bas bagi orang-orang kampung yang hendak merayakan kemerdekaan negara di Kuala Lumpur. Namun begitu, dia tidak boleh bertolak ansur dengan syarat pemilikan tanah dan buktinya dia mengarahkan Seman dan Pak Cin keluar dari rumah dan tanahnya. Cing Huat pintar dan bijak dalam perniagaan, terutamanya dia menawar harga yang paling murah kepada orang yang hendak menjual barang kepadanya tetapi dia tidak akan mengurangkan harga orang yang hendak membeli barang jualannya. Dia juga bijak untuk mengumpulkan harta, iaitu dengan menggunakan orang Melayu seperti Pak Musa dan Pak Cin untuk menjadi proksinya membeli tanah orang Melayu.


3. Maniam

Maniam berasal dari sebuah kampung di Kerala yang terletak di sebuah negeri di pantai barat India Selatan, dan dia datang ke Malaya untuk mencari rezeki kerana keadaan hidupnya yang terlalu miskin di India. Badannnya tegap dan tinggi, tulang rangkanya besar, dan berkulit hitam. Dia baru berumur 30 tahun semasa tiba di Pulau Pinang. Isterinya yang terpaksa ditinggalkan di India lari mengikut lelaki lain dan dia berkahwin pula dengan Malini, anak Perumal di kebun Cangkat Lima. Maniam rajin bekerja, contohnya dia melakukan berbagai-bagai kerja seperti menjadi kuli di pelabuhan dan bekerja di kebun kelapa di Cangkat Lima serta kebun getah di Cangkat Janggus. Maniam tidak suka akan fitnah, buktinya dia marah akan Suppiah yang telah memfitnahnya iaitu dengan mengatakan bahawa dia sudah berkahwin dan meninggalkan isterinya dalam keadaan miskin di India kepada Mariama dan pekerja-pekerja di ladang itu. Maniam seorang yang rasional, contohnya dia tidak mahu memberikan alasan dan menerangkan perkara yang sebenarnya kepada bapa mentuanya yang kecewa dengannya setelah mengetahui latar belakangnya itu. Dia seorang yang berani dan benci akan orang yang suka berbohong dan menceritakan keburukan orang lain, contohnya oleh sebab terlalu marah, Maniam mengejar Suppiah yang menyebarkan cerita buruk tentang dirinya. Namun begitu, perkara lain pula yang berlaku iaitu dia ditembak oleh pengurus ladang kerana menyangka Maniam hendak membalas dendam terhadapnya kerana memukulnya di kebun sebelum itu. Walau bagaimanapun, Maniam mendengar kata orang yang lebih tua, contohnya selepas peristiwa itu bapa mentuanya, Perumal menyuruhnya pergi ke tempat lain untuk mencari pekerjaan dan meninggalkan isterinya di situ bagi mengelakkan persengketaan yang berlarutan. Dia akur dengan kata-kata bapa mentuanya itu. Maniam suka menolong orang, contohnya dia menolong Seman untuk mendapatkan kerja di kebun tempatnya bekerja. Selain itu, dia seorang yang mengenang budi, contohnya Maniam mengenang budi Musa yang telah menyelamatkannya ketika dia dipukul oleh orang yang tidak dikenali ketika hendak meninggalkan kebun Cangkat Lima pada suatu awal pagi. Maniam seorang yang penyayang, buktinya dia amat berat hati untuk meninggalkan isterinya yang sarat mengandung. Maniam bertemu dengan anaknya, Inspektor Ramakrisyhnan yang tidak pernah dilihatnya itu semasa dia ditahan oleh Jepun. Dia bersimpati kepada orang lain, contohnya dia bersimpati dengan Mak Limah yang ditangkap oleh Jepun dan meminta anaknya Rama membebaskan Mak Limah

Tuesday, February 15, 2011

Kejadian Buli Dalam Kalangan Murid

Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar. Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.


............Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

............Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

............Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya, mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri.

............Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.

............Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.

............Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.

............Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

............Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya.

............Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

............Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah.

............Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.

............Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.

.............Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

............Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.

............Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.

............Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.

Wednesday, February 9, 2011

Novel Interlok: Buku Satu (Keluarga Seman)



1

Pada suatu petang ketika Seman membelah kayu, dia dan emaknya mendengar bunyi batuk ayahnya yang sakit itu. Seman pula berbual-bual dengan emaknya dan antara yang dibualkannya itu adalah tentang jodoh Seman. Bunyi batuk ayahnya itu semakin kuat dan Mak Limah memberikan ubat kepada Pak Musa. Batuk ayahnya semakin menjadi-jadi dan badannya juga semakin kurus. Sementara emaknya memasak nasi, Seman menjaga dan berbual-bual dengan ayahnya. Ayahnya mengingatkan Seman bahawa jika dia meninggal dunia nanti, Seman hendaklah membawa emaknya keluar dari rumah itu. Bapanya menerangkan bahawa tanah, binatang ternakan dan rumah yang duduki oleh mereka itu bukan miliknya tetapi milik orang lain. Bapanya bimbang tentang nasib mereka nanti yang mungkin tidak mempunyai rumah selepas kematiannya. Perkara yang diberitahu oleh bapanya itu menyebabkan Seman tertanya-tanya dalam hatinya tentang tuan punya harta yang dimiliki oleh ayahnya itu.

Oleh sebab batuk bapanya semakin menjadi-jadi, pada malam itu juga, ibunya menyuruh Seman pergi memanggil dukun untuk mengubati bapanya. Semasa bapanya sakit, Cina Panjang datang ke rumah mereka banyak kali dan Seman juga banyak kali pergi ke kedai Panjang untuk meminjam wang dan mengambil barang keperluan dapur. Pak Utih datang ke rumah Seman untuk mengubati ayahnya dengan menggunakan cara tradisional seperti air jampi, kemenyan, daun sireh , tangkal daripada tengkorak manusia dan sebagainya. Selepas makan malam, Seman mendapati batuk bapanya semakin teruk hingga mengeluarkan darah. Seterusnya, Seman dan emaknya memandikan ayahnya pada waktu tengah malam seperti yang dipesan oleh Pak Utih. Selepas itu, mereka berduapun tertidur kerana mengantuk. Apabila terjaga semula, Seman mendapati ayahnya sudah tidak bernyawa lagi dan Mak Limah menangis kerana terlalu sedih.

Mak Limah masih ingat akan Pak Musa yang menyembunyikan Seman di dalam kelambu ketika guru besar datang untuk mengajak Seman ke sekolah. Pak Musa tidak mahu Seman pergi ke sekolah tetapi dia bersetuju untuk membenarkan Seman belajar mengaji Quran dan agama dengan Lebai Seman. Ramailah orang kampung yang datang untuk menziarahi mayat ayah Seman. Seman pula disuruh oleh emaknya ke kedai Cina Panjang untuk mengambil barang-barang keperluan dapur dan satu bungkusan kertas kecil yang berisi wang kepadanya. Mayat Pak Musa diusung ke tanah perkuburan pada pukul satu tengah hari.


2

Setelah dua puluh tujuh hari bapanya meninggal dunia, Seman dipanggil oleh Cina Panjang. Cina Panjang mengatakan bahawa Pak Musa banyak berhutang kepadanya dan sudah menggadaikan semua tanah kepadanya. Cina Panjang menunjukkan surat-surat tanah itu kepada Seman tetapi Seman tidak tahu untuk membacanya kerana dia buta huruf. Oleh itu, Seman meminta kebenaran agar dia diberikan kebenaran untuk membawa surat-surat itu pulang ke rumahnya tetapi Cina Panjang. menolak permintaan itu. Seman seolah-olah tidak percaya bahawa bapanya berhutang hampir sepuluh ribu rnggit seperti yang didakwa oleh Cina Panjang.

Seman menyelongkar barang-barang di rumahnya untuk mencari wang yang dipercayainya telah disembunyikan oleh bapanya. Selepas itu, dia mencangkul tanah di bawah rumahnya pula. Perkara itu telah menyebabkan emaknya berasa hairan. Seman meneruskan usahanya lagi untuk mencari wang ayahnya itu di dalam reban ayam pula. Walau bagaimanapun, semua usahanya itu tidak mendatangkan hasil.


3

Mak Limah mengatakan bahawa semua tanah bapanya itu memang milik mereka tetapi sepanjang pengetahuannya, Pak Musa tidak meninggalkan wang. Akan tetapi, Seman mengatakan bahawa bapanya meninggalkan wang yang banyak Oleh sebab itu, dia bertindak demikian untuk mencari wang yang ditinggalkan oleh ayahnya. Mak Limah menasihati Seman agar merujuk perkara itu kepada Penghulu Talib dengan bantuan Lebai Man untuk mendapatkan kepastian. Pada pagi itu, Seman pergi ke rumah Lebai Man dan menceritakan masalahnya itu. Lebai Man terkejut kerana sepanjang pengetahuannya Pak Musa memang memiliki tanah itu dan dia tidak tahu pula Pak Musa sudah menggadaikan tanah-tanahnya itu.

Seman dan Lebai Man pergi ke rumah Penghulu Talib untuk mendapatkan pandangannya tentang masalah yang sedang dihadapinya itu. Penghulu Talib mengatakan bahawa dia memang pernah mendengar cerita yang sama sebelum itu, iaitu mengikut undang-undang kerajaan, tanah orang Melayu tidak boleh dijual kepada orang asing. Dia juga mengatakan bahawa memang Pak Musa membeli tanah itu tetapi tidak tahu sumber dia mendapat wang untuk membeli tanah tersebut. Mereka cuma mengetahui bahawa Pak Musa memang berhutang kepada Cina Panjang. Seterusnya, Penghulu Talib menerangkan bahawa sebenarnya Pak Musa membeli tanah dengan menggunakan wang yang diberikan oleh Cina Panjang kepadanya. Menurut Penghulu Talib, urusan jual beli tanah itu memang sah di sisi undang-undang tetapi selepas itu Cina Panjang akan membuat perjanjian lain dengan Pak Musa daripada menguasai tanah itu sebagai hak miliknya yang mutlak. Penghulu Talib berharap agar tidak ada orang lain yang mengikut jejak Pak Musa untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa eksploitasi Cina Panjang yang terlalu mementingkan dirinya.


4

Ketika Seman mengasah parang panjangnya di tepi telaga di depan rumahnya, Cina Panjang, Pak Cin, dan anaknya Kadir datang hendak berjumpa dengannya. Cina Panjang meminta Seman dan emaknya meninggalkan rumahnya itu kerana ada orang lain yang .hendak tinggal di situ. Walau bagaimanapun, dengan tegasnya Seman mengatakan bahawa mereka tidak mahu meninggalkan rumah itu. Cina Panjang pula mengatakan bahawa jika mereka tidak mahu keluar dari rumah itu, Seman perlu membayar sewanya. Seman masih berdegil dengan mengatakan bahawa dia tidak mahu membayar sewa yang diminta oleh Cina Panjang. Mak Limah pula mengajak Seman meninggalkan rumahnya itu tetapi Seman mengatakan bahawa mereka tiada tempat lain untuk dijadikan tempat berlindung.

Lazim dan Mamat Labu datang ke rumah Seman dan mereka terkejut apabila diberitahu bahawa mereka diusir dari rumahnya itu. Kemudian, Penghulu Talib datang bersama-sama dengan Cina Panjang, Pak Cin, dan anaknya Kadir sambil bertanya tentang peristwa yang baru berlaku tadi. Seman memberitahu Penghulu Talib bahawa dia sedang mengasah parang panjangnya untuk memotong daun mengkuang ketika Cina Panjang dan Pak Cin tiba. Cina Panjang pula mengatakan bahawa daun mengkuang itupun tidak boleh dipotong oleh Seman lagi kerana sudah dijualnya kepada orang lain. Penghulu Talib menasihati Seman agar keluar dari rumahnya itu dengan cara baik tetapi meminta Cina Panjang memberikan tempoh selama seminggu sebelum mereka keluar dari situ. Penghulu Talib juga mengingatkan mereka agar tidak mengganggu Seman selama tempoh tersebut. Cina Panjang pula mengingatkan Seman supaya jangan merosakkan rumahnya itu. Lebai Man memujuk Seman dan Mak Limah supaya bersabar dan mengajak mereka berdua tinggal di rumahnya sahaja.


5

Masalah yang dihadapi oleh Seman dan ibunya itu menyebabkan Lazim sukar untuk melelapkan mata kerana fikirannya terganggu. Sejak menjadi guru, dia dapat melihat bangsanya terus miskin dan bodoh kalau tidak mahu berubah sikap. Dia juga miskin tetapi sejak menjadi guru, orang kampung menghormati keluarganya, buktinya panggilan terhadap ayahnya sudah berubah iaitu bapa Cikgu Lazim. Dia memikirkan cara untuk menolong orang-orang kampungnya dengan menubuhkan perkumpulan dan mengajak Seman menyertainya. Seman mengatakan bahawa dia tidak memahami siasah yang diperjuangkan oleh Lazim, tambahan pula dia tidak tahu membaca dan menulis. Walau bagaimanapun, Seman memberikan sokongan moral kepada Lazim. Lazim berasa memang susah untuk menyatupadukan pemuda-pemuda di kampungnya kerana mereka tidak memahami siasah yang diperjuangkannya itu. Lazim memikirkan cara untuk membantu Seman iaitu dengan menawarkan tanah bapanya untuk dijadikan tapak rumah. Akan tetapi, Seman menolaknya walaupun Lazim dan rakan-rakannya sanggup mendermakan wang untuk membina rumah baharu Seman

Rahsia Orang Malas Jana Duit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...