Wednesday, January 12, 2011

Antologi Dirgahayu Bahasaku(Tingkatan 5)


PANTUN ENAM KERAT

Putik kelapa menjadi muda,

Kelapa muda jadi kemirau,

Sudah kemirau menjadi kotai;

Hati luka pura tiada,

Rasa pedih buat tak hirau,

Ibarat kaca jatuh ke lantai.

Ambil galah jolok kedondong,

Galah pendek buluh sumpitan,

Buluh bersisip tali jerami;

Bukan salah ibu mengandung,

Sudah takdir sudah suratan,

Sudah nasib jadi begini.

Sarat bermuat ikan cencaru,

Gelama tidak berumpan lagi,

Kail tersangkut di tepi batang;

Sudah dapat orang yang baru,

Yang lama tidak berkenan lagi,

Ibarat melukut di tepi gantang.

Tema : Ketabahan hati semasa berhadapan dengan kekecewaan dalam percintaan

Persoalan:

i. Perasaan kecewa yang perlu dihadapi dengan tabah tanpa menyerah kalah pada takdir.

ii. Perasaan rendah diri apabila dikecewakan oleh orang yang dikasihi

iii. Menerima takdir hidup dengan pasrah.

Nilai:

i. Ketabahan; tabah menghadapi kekecewaan dalam percintaan

ii. Keredaan; reda akan takdir tuhan

iii. Rasional : tidak menyalahkan sesiapa atas kejadian yang menimpa diri

Pengajaran:

i. Kita perlu tabah dan kuat semangat apabila berhadapan dengan kekecewaan

ii. Kita mesti menerima ketentuan tuhan dengan reda dan pasrah

iii. Kita mesti bersikap rasional apabila berhadapan dengan masalah dalam kehidupan tanpa menyalahkan orang lain.

Peribahasa

i. Ibarat kaca jatuh ke lantai

ii. Bukan salah ibu mengandung

iii. Ibarat melukut di tepi gantang

Maksud Pantun

i. Rangkap 1: kekecewaan yang benar-benar dirasai oleh seseorang perlu ditangani tetapi jangan dilayan perasaan kecewa walaupun hati betul-betul terluka/kecewa.

ii. Rangkap 2; Semua peristiwa yang berlaku/kecewa cinta merupakan ketentuan Tuhan dan tidak perlu menyalahkan orang lain

iii. Rangkap 3; Perasaan hina menyebungi diri orang yang kecewa cinta apabila kekasih hati jatuh hati dengan orang lain/orang baru

PANTUN LAPAN KERAT

Buat bangsal di tengah hutan,

Tebaslah hutan buat halaman,

Di tepi halaman menanam kubis,

Diselang dengan pokok papaya;

Biarlah sabar dengan perlahan,

Itulah tanda tuan beriman,

Tidak patah digoncang syaitan,

Akhirnya tuan menang berjaya.

Ikan teluk parang-parang,

Anak ketam disangka lelabi,

Berburu musim tengkujuh,

Dapat buruan dibelah-belah;

Bukan makhluk sebarang-barang,

Cucu Adam sepaian nabi,

Turun dari langit ketujuh,

Jadi khalifah kepada Allah.

Lengkang-lengkung apa dipaku,

Paku jatuh patah dua,

Menjadi riuh orang di darat,

Anak Cik Itam jatuh jalar;

Bumi kandungan nenek moyangku,

Kerana lalai rosak binasa,

Kebudayaan Timur dinodai Barat,

Bahasa ibunda hina terbiar.

Tema: Tanggungjawab terhadap agama, negara, bahasa dan bangsa

Persoalan:

i. Sifat sabar yang perlu dimiliki untuk berhadapan dengan godaan syaitan.

ii. Kesabaran menunjukkan tahap kekuatan iman yang tinggi ;

iii. Kesabaran mampu memberi kejayaan kepada manusia.

iv. Kemuliaan manusia sebagai pemimpin dunia

v. Kelalaian dan terlalu mengagungkan budaya Barat yang akhirnya merosakkan budaya dan bahasa ibunda di negara sendiri.

vi. Tanggungjawab yang mesti dipikul oleh rakyat negara ini demi kedaulatan budaya dan bahasa ibunda.

Nilai:

i. Kesabaran

ii. Tanggungjawab

iii. Semangat patriotik/jati diri

Pengajaran

i. Kita perlu mempunyai sifat sabar untuk berjaya melawan hasutan syaitan

ii. Kita perlu menjaga amanah yang diberi tuhan sebagai pemimpin di dunia ini.

iii. Kita perlu mempertahankan budaya Timur daripada pupus ditelan budaya Barat

iv. Jangan lalai dengan arus kemodenan yang akhirnya akan merosakkan identity bangsa dan negara sendiri.

Maksud Pantun

1. Sifat sabar dapat melindungi diri kita godaan syaitan/ memperoleh kejayaan hidup

2. Manusia yang menjadi khalifah di dunia ialah mahkluk pilihan tuhan

3. Budaya Timur yang rosak di negara sendiri kerana pengaruh Barat ; akibat kelalaian rakyat sendiri yang mengagung-agungkan budaya Barat.

4. Bahasa ibunda yang terpinggir di negara sendiri akibat sikap mengagung-agungkan budaya orang lain/budaya Barat

No comments:

Post a Comment

Rahsia Orang Malas Jana Duit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...