Monday, January 24, 2011

Latihan Rumusan (Tingkatan 4/5)

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan kemasukan buruh asing di Malaysia dan langkah-langkah untuk mengurangkan bilangan mereka. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 perkataan.

Fenomena kemasukan buruh asing ke Malaysia bukanlah suatu hal yang luar biasa. Hal ini demikian kerana Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan makmur sudah pasti akan menarik perhatian sejumlah besar guna tenaga dari negara-negara sekitar untuk mencari nafkah di negara ini di samping faktor-faktor kedaifan dan kekurangan peluang kerja di negara asal mereka. Kini jumlah buruh asing dianggarkan telah mencecah dua juta orang dan dijangka mencapai angka lima juta pada tahun 2020 kelak.
Buruh-buruh asing ini pada hakikatnya bukanlah robot, tetapi individu yang membawa bersama-sama pelbagai latar belakang kehidupan dari tanah asal masing-masing. Dari aspek kesihatan, buruh-buruh asing yang datang secara haram khususnya amat berpotensi menyebarkan pelbagai penyakit berjangkit dan wabak. Jika wabak tercetus, kerajaan perlu membelanjakan wang yang banyak bagi mencegahnya. Kesannya terhadap kehidupan dan kebajikan rakyat tempatan akan menjadi sangat tragis, di samping kerajaan juga perlu menggerakkan tenaga profesional dalam bidang perubatan untuk mengatasi masalah tersebut dalam tempoh yang tertentu. Lazimnya juga sebahagian besar buruh asing akan menghantar pendapatan mereka kepada kaum keluarga di negara masing-masing. Pengaliran wang keluar ke negara asing amat merugikan rakyat dan negara ini. Pada hal, jika wang tersebut dibelanjakan di Malaysia akan dapat menjana kerancakan ekonomi domestik.
Kemasukan buruh asing turut membawa bersama ahli keluarga ke Malaysia. Sesetengahnya pula menambah bilangan anak sewaktu berada di bumi Malaysia. Hal yang sedemikian menyebabkan kerajaan terpaksa menambah peruntukan untuk menyediakan kemudahan persekolahan. Anak mereka berkongsi bilik darjah dan kemudahan sekolah dengan anak tempatan. Guru-guru yang dahulu hanya memberikan tumpuan pengajaran dan pembelajaran kepada anak-anak tempatan, sekarang melebarkan tumpuan mencakupi anak-anak pendatang.
Bukan sedikit pula jenayah yang terjadi berpunca daripada buruh asing. Pernyataan ini tidak pula menafikan bahawa orang tempatan juga ada yang melakukan jenayah. Namun, dengan wujudnya jenayah yang dilakukan oleh sebahagian buruh asing dengan kaedah atau modus operandi yang agak berbeza dengan penjenayah tempatan, pasukan polis negara ini terpaksa bekerja lebih keras. Operasi dari masa ke masa menuntut peruntukan kewangan yang besar daripada kerajaan serta mengambil masa serta tenaga pasukan keselamatan yang amat berharga. Kesan jenayah pula turut meninggalkan trauma yang mendalam kepada mangsa yang terdiri daripada rakyat tempatan.
Sudah tiba masanya kerajaan Malaysia mencari alternatif yang praktikal bagi mengurangkan jumlah buruh asing ke tahap yang minimum. Kebergantungan kepada buruh asing bukan sesuatu yang harus dibiarkan berlanjutan sehingga boleh mencetuskan suasana yang mengganggu ketenteraman dan keselamatan rakyat dan negara ini.

(Diubah suai daripada rencana Pendatang,
oleh Anwar Ridhwan, Dewan Masyarakat,
Oktober 2004)

Perhatian!!! Jawaban lengkap disediakan. Sila hantarkan alamat email anda!!!

1 comment:

Rahsia Orang Malas Jana Duit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...