Thursday, December 9, 2010

KELUARGA BAHAGIA

TUGASAN : PERANAN ANAK-ANAK UNTUK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA

FORMAT : TIADA

CONTOH KARANGAN:

Setiap orang di dunia ini ada ibu bapa. Ibu bapa merupakan orang yang penting dalam kehidupan anak-anak. Tanpa ibu bapa, anak-anak tidak akan lahir ke dunia. Mereka juga tidak dapat melihat keindahan alam ini. Terdapat pelbagai peranan yang perlu dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa.

Salah satu peranan anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa adalah dengan menghormati ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana ibu bapalah orang yang membesarkan kita sejak kecil. Anak-anak perlu berbudi bahasa apabila bercakap dengan ibu bapa mereka. Sebagai contoh, anak-anak tidak meninggikan suara apabila bercakap dengan ibu bapa. Tegasnya, ibu bapa perlu dihormati oleh anak-anak demi membahagiakan mereka.

Selain itu, anak-anak perlu mendengar nasihat ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana tujuan mereka adalah untuk kebaikan anak-anak. Anak-anak mestilah mematuhi segala pesanan yang diberikan oleh orang tua mereka. Sebagai contoh,,jika ibu bapa menasihati kita supaya berbuat baik kepada orang lain, kita perlulah mentaatinya. Jelaslah bahawa, anak-anak dapat membahagiakan ibu bapa apabila mendengar nasihat mereka.

Di samping itu, peranan anak-anak bagi membahagiakan ibu bapa adalah dengan belajar bersungguh-sungguh. Ibu bapa akan berasa gembira apabila anak-anak mereka berjaya. Anak-anak perlu rajin membaca dan membuat ulang kaji setiap hari. Sebagai contoh, anak-anak menyelesaikan kerja rumah yang diberikan oleh guru tanpa dipaksa. Oleh itu, anak-anak perlu belajar bersungguh-sungguh demi membahagiakan ibu bapa mereka.

Seterusnya, anak-anak hendaklah membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja di rumah. Jika anak-anak membantu ibu bapa, segala tugas dapat dilakukan dengan mudah. Anak-anak membantu ibu bapa mengemas rumah, memasak, menjaga adik, menyiram pokok bunga dan kerja-kerja rumah yang lain. Kesannya, rumah akan bersih dan ceria. Jelaslah, ibu bapa akan bahagia apabila anak-anak membantu mereka.

Akhir sekali, anak-anak mestilah mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka. Hal ini demikan kerana ibu bapa akan mendapat kebaikan daripada doa yang dipohon. Sebagai contoh, ibu bapa akan dilindungi Tuhan daripada keburukan seperti ditimpa sakit atau sebarang masalah lain. Pendek kata, anak-anak dapat membahagiakan ibu bapa dengan mendoakan kesejahteraan mereka.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara yang dapat dilakukan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa mereka. Anak-anak tidak seharusnya melupakan jasa ibu bapa mereka seperti kacang lupakan kulit Anak-anak perlu ingat bahawa syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.

No comments:

Post a Comment

Rahsia Orang Malas Jana Duit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...